PHNOM PENH, 12 JUN – Pakar bersama sedang mengkaji kejadian pertama yang dicatatkan mengenai ikan lumba-lumba tanpa sirip di perairan Kemboja selepas haiwan itu ditangkap dan mati dalam pukat di komuniti nelayan Trapeang Ropov di komun Prek Tnaot di bandar Bokor Kampot baru-baru ini.
Pengarah Pentadbiran Perikanan Wilayah Sar Sarin melaporkan bahawa masyarakat memaklumkan kepada pentadbiran pada 10 Jun tentang kejadian penangkapan dalam jaring yang membabitkan seekor ikan lumba-lumba.
Setelah disiasat oleh pasukan perikanan, dengan kerjasama Marine Conservation Cambodia (MCC), ia dikenal pasti sebagai seekor ikan lumba-lumba betina tanpa sirip (Neophocaena phocaenoides).
Ini menandakan penampakan pertama yang direkodkan bagi spesis ini di perairan Kemboja.
“Ikan lumba-lumba tanpa sirip adalah spesies yang tidak pernah ditemui di kawasan kami semasa penyelidikan kami selama bertahun-tahun.
“Pasukan kami telah mengenal pasti ia sebagai spesies baru ikan lumba-lumba di Kemboja, sebagai tambahan kepada ikan lumba-lumba Irrawaddy dan merah jambu,” katanya sambil menambah bahawa pasukan itu meneruskan kajian untuk menentukan asal usulnya.
“Oleh kerana kawasan kita kaya dengan biodiversiti, dengan ekosistem yang baik, makanan yang banyak dan tempat tinggal yang selamat, ia mungkin menarik ikan lumba-lumba dari kawasan lain.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/B-paper-web-ANN-Phnom-Penh.jpg)
“Kami sedang mengkaji sama ada ia ber-asal dari kawasan ini atau datang dari kawasan lain untuk mencari makanan di sini,” katanya.
Bagaimanapun, ikan lumba-lumba itu mati akibat terperangkap dalam pukat terlalu lama, tambahnya.
Jika ia masih hidup, pasukan itu akan melepaskannya untuk menjejaki lokasi asalnya. Bangkai ikan lumba-lumba itu ditanam di dalam komuniti. – ANN/Phnom Penh