Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan makan walau tidak lapar

    Oleh Raz AS –

    Ramai yang menyangka ikan hanya akan memakan umpan ketika lapar, sehingga selalu kedengaran ramai yang mengatakan ikan tidak makan umpan mereka kerana terlalu banyak anak ikan atau udang yang bermain-main di tempat mereka memancing tersebut.

    Memang betul sekiranya ikan lapar tentu sahaja ia akan lebih galak memakan umpan.

    Bayangkan sahaja kita manusia kebuluran sehari suntuk dan tiba-tiba melihat makanan terhidang di atas meja makan di rumah.

    Namun begitu, timbul juga sedikit keraguan untuk menjamahnya, takut-takut makanan tersebut milik adik-beradik atau orang rumah yang ditinggalkan sebentar. Berlainan dengan ikan yang hanya mempunyai naluri, pasti apa sahaja makanan yang ada di depan matanya disambar dengan rakus.

    Walau bagaimanapun, ikan tidak semestinya memakan umpan kerana lapar. Fenomena ini lebih dikenali sebagai reaction bite, di mana ikan akan menerkam sesuatu disebabkan naluri ingin tahu, berang, mempertahankan telur atau anak, menjaga kawasan atau timbulnya naluri pemangsa dan lain-lain lagi.

    Ikan tidak semestinya menyambar disebabkan lapar.- GAMBAR OLEH BOATUS
    Aksi jerking atau twitching boleh memacu naluri pemangsa ikan ketika ia tidak berminat untuk mengejar lure. – GAMBAR OLEH WIRED2FISH

    Oleh yang demikian, pemancing haruslah bijak untuk mengambil kesempatan mengubah strategi pendekatan mereka terutama ketika ikan tidak galak memakan umpan.

    Meski berbeza dengan haiwan atau manusia yang mempunyai tangan, ikan juga mempunyai naluri ingin tahunya sendiri. Akan tetapi perbezaannya di sini adalah jika kita atau haiwan akan menyentuh sesuatu objek itu dengan tangan atau kaki, ikan pula akan memasukkannya ke dalam mulut dan memuntahkannya kembali.

    Perlakuan ini dapat kita lihat dengan memerhatikan ikan-ikan yang ada di dalam akuarium yang mempunyai batu-batu kecil di dalamnya. Kadang-kadang sang ikan akan menyedut masuk dan memuntahkan batu-batu tersebut berulang kali. Begitu juga dengan serpihan kayu kecil yang terapung di permukaan airnya. Sekarang cuba bayangkan objek tersebut mempunyai mata kail, oleh itulah kadang-kadang ikan masih sahaja memakan lure yang dilontar meski hanya dibiarkan hanyut terapung di bawah permukaan atau di dasar.

    Sesetengah ikan pula bersifat agresif ketika musim mengawan. Ikan-ikan ini tidak akan meninggalkan telur-telurnya yang telah disenyawakan kerana takut telur-telur itu akan menjadi habuan ikan-ikan atau binatang akuatik lain dan ia akan menyerang ikan-ikan lain yang datang berdekatan untuk mengacau. Oleh itu, umpan atau lure haruslah dilontar tepat ke sarangnya untuk memimik makhluk-makhluk pengacau ini.

    Begitu juga dengan ikan yang bersifat territorial atau bersifat melindungi anak-anaknya. Ia akan menyerang ikan-ikan lain yang datang berdekatan sarang atau anak-anak mereka meski sesama spesies. Pemancing harus bijak mengenal pasti kawasan-kawasan yang dipercayai menjadi sarang kepada ikan-ikan territorial ini seperti di kawasan berumpai, lalang, reba kayu atau berstruktur, atau mengenal pasti kawasan yang terdapat anak-anak ikan yang diburu sedang bermain-main.

    Kadang-kadang kita perlu membuat ikan marah dan menimbulkan naluri pemangsanya.

    Dalam hal ini, penggunaan lure jenis bising, melontar berulang-ulang ke tempat yang sama atau melakukan aksi jerking atau twitching boleh memainkan peranan yang besar untuk mencetuskan reaction bite daripada ikan yang kurang berminat dengan umpan yang dihulur.

    Ikan yang kurang aktif akan lebih berminat untuk menyambar lure yang diberikan aksi jerking atau twitching untuk mencetuskan reaction bite dengan bukti video-video boleh ditonton melalui laman YouTube atau Facebook, di mana sebuah akuarium gergasi didirikan dan diisikan dengan puluhan ekor ikan di dalamnya.

    Apabila lure dilontar ke dalamnya dan dilakukan straight retrieve ikan-ikan tersebut hanya mengekori atau membiarkan saja lure tersebut melintas di hadapan mata, namun apabila ‘twitching’ dilakukan lure tersebut terus disambar.

    Apa yang penting, ketika ikan enggan memakan umpan yang disajikan meski kita ketahui di kawasan itu memang mempunyai ikan, si pemancing haruslah sentiasa aktif mencari pelbagai cara dan helah untuk menarik minat sang ikan. Biar betapa peliknya kaedah itu di mata kita sebagai manusia, berfikirlah seperti ikan.

    Apa yang membuahkan hasil kelmarin mungkin tidak akan membuahkan hasil yang sama pada hari ini dan berbeza lagi pada hari esok. Oleh yang demikian jika satu cara tidak berhasil, cuba gunakan cara lain dan seterusnya sehingga berjaya.

    Bak kata orang kitani ‘bekarih, bejarih, belurih’, kalau masih kumpaw juga baiktah mulih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda