Friday, January 31, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan patin jadi sumber rezeki pemancing selepas banjir

    TUMPAT, 9 DIS – Bencana banjir yang melanda Kelantan sejak dua minggu lepas membawa rezeki kepada kaki pancing yang menjadikan Jambatan Kampung Tujuh Jubakar Pantai di sini sebagai tumpuan memancing pelbagai spesies ikan.

    Tinjauan Bernama mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menangkap ikan yang dikatakan muncul setiap tiba musim banjir, sekali gus mencetuskan suasana bagaikan pesta memancing di kawasan berkenaan.

    Seorang pemancing Affandi Anuar, 22, dari Kampung Limbat, Pasir Mas berkata beliau sanggup berulang-alik dari Pasir Mas ke Tumpat, yang mengambil masa perjalanan sekitar 30 minit setiap hari sejak dua minggu lepas untuk memancing di kawasan itu.

    “Saya bertolak dari Pasir Mas sekitar pukul 8 pagi untuk memancing di kawasan ini sebelum pulang sekitar pukul 7 malam. Sudah dua minggu saya ‘berkampung’ di sini dengan memperoleh lebih 100 kilogram (kg) patin termasuk patin buah dan patin sungai.

    “Hampir setiap hari saya berjaya memancing enam hingga tujuh ekor ikan dianggarkan seberat tiga hingga enam kilogram sebelum menjualnya kepada penduduk sekitar dengan harga RM12 sekilogram,” katanya ketika ditemui Bernama di Jambatan Kampung Tujuh Jubakar Pantai, di sini hari ini.

    Seorang lagi pemancing Azizul Anuar, 35, dari Kampung Machang Gochoh, Pasir Mas berkata hampir 300 kaki pancing bukan sahaja dari Kelantan, bahkan dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor datang mencuba nasib di kawasan itu.

    “Kebiasaannya mereka yang datang tidak akan pulang dengan tangan kosong terutama ketika arus sungai deras, malah sepanjang berada di sini sejak dua minggu lepas,

    tangkapan terbesar ialah patin mekong seberat 16.9kg yang ditangkap seorang pemancing.

    “Berdasarkan pengalaman saya hampir setiap tahun, ikan patin membanjiri kawasan ini setiap kali banjir berlaku memandangkan arus sungai terutama Sungai Golok yang deras menghanyutkan ikan-ikan berkenaan. Bukan sahaja patin, tetapi terdapat juga ikan kaloi, ikan tuman dan lampam jawa,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda