WASHINGTON, 3 JAN – Seekor paus pembunuh betina, yang dikenali sebagai Tahlequah atau J35, dilaporkan kehilangan anaknya yang baru lahir dan kini membawa bangkai anak tersebut, menurut penyelidik marin Amerika Syarikat (AS).
Pusat Penyelidikan Paus, yang berpangkalan di Washington, memaklumkan bahawa Tahlequah, seekor orca terancam, dilihat membawa bangkai anaknya yang mati di perairan Puget Sound berhampiran Seattle pada Hari Tahun Baharu.
“J35 telah dilihat membawa bangkai anaknya,” menurut pusat itu menerusi hantaran di Instagram kelmarin.
“Tingkah laku ini pernah diperhatikan pada J35 pada 2018, apabila ia membawa bangkai anaknya selama 17 hari,” tambah kenyataan itu.
Ketika insiden tujuh tahun lalu, Tahlequah dilihat menolak bangkai anaknya dengan hidung atau menggigitnya dengan mulut, lapor media AS.
Pengasas Pusat Penyelidikan Paus, Ken Balcomb, menyifatkan kejadian sebelumnya sebagai ‘perjalanan duka yang sangat tragis’ ketika diwawancara penyiar awam, NPR.
Kehilangan anak betina yang terbaharu itu dianggap sebagai tamparan besar kerana Tahlequah kini telah kehilangan dua daripada empat anak yang pernah didokumentasikan, menurut pusat tersebut.
Saintis marin turut menyatakan bahawa paus orca adalah antara haiwan paling pintar di dunia, dengan kemampuan menunjukkan tingkah laku sosial yang kompleks, termasuk kesedaran diri dan merasai kesedihan. – AFP