SYDNEY, 1 OKT – Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera selepas seekor ikan paus melanggar sebuah bot di luar pantai timur Australia, kelmarin, kata polis.
Kedua-dua lelaki itu tercampak daripada bot apabila ia dilanggar sekitar 6 pagi waktu tempatan di perairan La Perouse, 14 kilometer di tenggara Sydney.
Menurut polis, penumpang yang menaiki bot kedua menghidupkan penggera selepas melihat bot kecil sepanjang 4.8 meter itu tidak berpenumpang.
Pengemudi berusia 53 tahun dikeluarkan dari perairan berdekatan, diberi rawatan oleh paramedik dan dibawa ke hospital, di mana dia berada dalam keadaan stabil, menurut pihak berkuasa.
Seorang lagi lelaki, 61, tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pengemudi bot tersebut cuba memegang rakannya sedekat mungkin dalam usaha menyelamatkannya, kata Pemangku Superintendan Polis Air, Siobhan Munro.
Ikan paus itu dipercayai telah melanggar berhampiran atau mungkin ke atas bot, tambahnya, menggambarkan perlanggaran itu sebagai kemalangan yang tragis.
Paus jenis Humpback dan southern right boleh dilihat di sepanjang pantai New South Wales setiap tahun.
Haiwan berkenaan bergerak ke utara ke tempat pembiakan yang lebih hangat semasa musim sejuk di Australia, dan kembali ke selatan antara September dan November.
“Sekarang ini terdapat banyak ikan paus di sana dan terdapat banyak contoh ikan paus yang melanggar bot,” kata Munro. – AP