Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan pekasam produk kebanggaan

    LENGGONG – Ikan loma atau nama saintifiknya Thynnichthys thynnoides yang banyak terdapat di Tasik Raban dan Sungai Perak, di sini dimanfaatkan penduduk setempat dengan penghasilan ikan pekasam yang menjadi produk kebanggaan mereka.

    Berikutan kerancakan terhadap industri hiliran itu, Pusat Pekasam Negara ditubuhkan di sini sejak 2010 sekali gus menjadi tumpuan usahawan yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan berkenaan.

    Selain menempatkan kilang pembuatan pekasam dan pejabat pentadbiran, Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan (FIDTEC) itu turut menyediakan enam gerai diusahakan penduduk antaranya menjual hasil produk berkenaan.

    Ketua Pusat Pekasam Negara Siti Norzahida Yusof berkata ribuan individu dari seluruh Malaysia telah dilatih mempelajari kaedah penghasilan produk pekasam terbaik di pusat berkenaan malah pusat itu turut menyediakan pelbagai kursus produk inovasi seperti sate dan kebab ikan tilapia serta serunding pekasam.

    “Kursus ditawarkan adalah percuma, kita akan mengajar cara menghasilkan produk pekasam dengan betul supaya ia boleh tahan lama,” katanya kepada Bernama pada Program Peningkatan Kemahiran Asas Pemprosesan Produk Perikanan (Pekasam Tradisional dan Pekasam Moden) melibatkan 17 peserta dari seluruh Perak di pusat berkenaan, baru-baru ini.

    Menyiang dan mencuci ikan adalah sesi awal pengajaran Program Peningkatan Kemahiran Asas Pemprosesan Produk Perikanan yang disertai seramai 17 peserta dari seluruh Perak di FIDTEC, Pusat Pekasam Negara Jabatan Perikanan Malaysia Kampung Kelantan. – Gambar Bernama
    Siti Norzahida Yusof menunjukkkan ikan pekasam yang telah siap diproses di FIDTEC, Pusat Pekasam Negara Jabatan Perikanan Malaysia Kampung Kelantan. – Gambar Bernama
    Ikan segar yang siap disiang mestilah dicuci dengan bersih dan garam juga perlu disukat dengan betul bagi mengelakkan produk menjadi busuk setelah diperam. – Gambar Bernama
    Peserta termuda yang memulakan perniagaan pekasam bersama ibunya sejak Mac lepas di Kampung Sungai Bayor, Selama Muhammad Nur Arif Khairul Azhan mengoreng beras untuk dijadikan bahan asas pembuatan ikan pekasam di FIDTEC. – Gambar Bernama

    Siti Norzahida berkata antara yang diajar kepada peserta ialah mencuci ikan dengan bersih selain sukatan garam yang betul bagi mengelak produk menjadi busuk setelah diperam selama seminggu hingga dua minggu.

    Beliau berkata pekasam yang siap diproses lebih elok dibungkus dengan menggunakan kaedah vakum kerana mampu melindungi produk daripada dicemari mikroorganisma udara sekali gus dapat bertahan lama lebih-lebih lagi jika disimpan dalam peti ais.

    Seorang peserta kursus, Muhammad Nur Arif Khairul Azhan, 25, yang memulakan perniagaan pekasam bersama ibunya sejak Mac lepas di Kampung Sungai Bayor, Selama berkata percubaannya dalam bidang berkenaan tidak sia-sia apabila mendapat sambutan daripada penduduk setempat.

    Bekas pelajar tahfiz dan sekolah pondok itu berkata dia pada mulanya menerima galakan daripada bapanya apabila melihat hobinya yang gemar menangkap ikan di Sungai Bayor.

    Menurut Muhammad Nur Arif, dia telah beberapa kali menyertai kursus di Pusat Pekasam Negara yang ternyata membantunya menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran lebih mendalam dalam bidang tersebut.

    Katanya dia pernah kerugian kira-kira RM2,000 selepas 100 kilogram bekalan ikan loma yang diperoleh dari Gerik, Perak menjadi busuk dan berulat selepas diperam.

    “Mungkin kurang bersih atau ikan yang tidak segar, jadi saya mengambil keputusan untuk menjual pekasam ikan tilapia sahaja yang sudah pasti segar kerana ikan ditangkap sendiri di Bukit Merah selain isi ikan jenis ini tidak terlalu lembut atau keras,” katanya.

    Muhammad Nur Arif yang menerima bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membeli peralatan seperti penimbang dan peti sejuk berkata pekasam ikan tilapia seberat 200 gram itu dijual pada harga RM7 sepeket di kedai manakala RM8 sepeket bagi penghantaran terus.

    “Permintaan amat tinggi hingga 500 peket terjual dalam sebulan walaupun keuntungan diperoleh tidak banyak selepas mengambil kira kos upah membersihkan ikan oleh orang kampung pada harga RM1 seekor selain kos bahan peraman seperti garam dan beras yang disangai,” katanya.

    Sofiah Osman, 57, dari Kuala Kurau pula berkata beliau membuat kelainan dengan menggunakan ikan laut untuk dijadikan pekasam seperti gelama, kembung dan selangat sekali gus tidak menyangka pekasam ikan laut mempunyai penggemar tersendiri.

    “Saya membeli bekalan ikan yang segar pada harga murah terus dari bot nelayan di Jalan Pantai, Kuala Kurau dan bercadang memperluas jualan produk pekasam ini sebagai sumber pendapatan utama kerana semuanya pasti habis terjual,” katanya yang memulakan perniagaan sejak 2020 dengan menggunakan modal sendiri selain dibantu rakan dan adiknya.

    Ibu kepada lima anak itu memberitahu pekasam laut dijual mengikut harga ikan di pasaran iaitu kira-kira RM5 sebungkus bagi 250 gram di premis Iza Sofy Shop yang turut membekalkan hasil laut basah dan kering berhampiran rumahnya.

    Sofiah berkata beliau sudah beberapa kali mengikuti kursus di Pusat Pekasam Negara untuk menambah kemahiran dalam keusahawanan pelbagai hasil laut. “Saya suka datang belajar di sini kerana apa yang diajar oleh tenaga pengajar amat bagus dan mudah untuk dipraktikkan apabila pulang dari kursus,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda