Oleh Raz AS
Ikan selongsong, juga dikenali sebagai siakap putih atau barramundi, dianggap sebagai salah satu spesies ikonik di kalangan pemancing estuari.
Ikan yang elusif, mempunyai lompatan akrobatik dan sedap dijadikan hidangan ini sememangnya menjadi buruan ramai dan telah dimahkotakan sebagai raja muara.
Kejayaan untuk menundukkan sang raja ini, memberikan pemancing perasaan gembira dan sangat berpuas hati yang berlainan berbanding spesies-spesies muara lainnya, lebih-lebih lagi jika ia merupakan pengalaman pertama bagi pemancing tersebut. Di sini penulis ingin mengongsikan beberapa tip kepada pemancing-pemancing baharu atau bagi yang tidak pernah berburu spesies hebat ini bagi pengetahuan bersama.
Umpan
Umpan terbaik untuk berburu ikan selongsong adalah menggunakan umpan udang hidup dan ikan kembura. Walau bagaimanapun, umpan tiruan seperti minnow dan softplastic juga terbukti sangat berkesan digunakan untuk memikatnya. Ikan selongsong merupakan pemangsa yang pemalas dan lebih suka menghendap, menunggu peluang makanan melintas di hadapannya.
Oleh yang demikian apabila menggunakan umpan tiruan, terutama pada waktu malam, aksi atau retrieve yang perlahan boleh memberikan hasil yang produktif. Seberapa perlahan? Cukup sekadar kelajuan minimum yang membolehkan umpan tiruan tersebut menghasilkan aksi.
Tempat
Tempat terbaik untuk melabuhkan umpan adalah di kawasan-kawasan seperti reba atau struktur, lubang dalam dan tempat pertemuan aliran sungai seperti kawasan mulut anak sungai. Kawasan-kawasan ini selalunya menjadi tempat ikan selongsong bersembunyi dan menunggu peluang untuk menyerang hendap mangsanya.
Duga berulang-ulang
Sebaiknya dugalah satu-satu tempat melabuh umpan itu berulang-ulang, jangan terus ditinggalkan sekiranya lontaran pertama, kedua mahupun ketiga yang dilakukan tidak membuahkan hasil. Ikan selongsong yang pemalas kadang-kadang akan teragak-agak untuk menyambar umpan yang lalu di hadapannya dan memerlukan kita untuk cuba menggodanya berkali-kali.
Perambut atau tali tebal
Ikan selongsong mempunyai penutup insang yang tajam seperti pisau, manakala giginya pula kesat seperti kertas pasir. Bagi mengelakkan berputih mata akibat tali terputus terkena penutup insang atau kerana bergesel dengan giginya, gunakan tali atau perambut daripada jenis yang tebal atau tahan geseran. Setelah berjaya menaikkan ikan selongsong, periksalah keadaan tali kalau-kalau ada yang ‘luka’ sebaiknya potong sedikit beberapa jengkal atau ikat perambut yang baharu.
Naikkan secepat mungkin
Selain kebolehan akrobatiknya, antara lain kenapa ikan ini dianggap sebagai salah satu spesies gamefish terhebat, adalah kerana kebolehannya untuk melepaskan diri dengan memuntahkan mata kail tertancap di mulutnya. Apabila mata kail sudah mengena pastikan tali sentiasa tegang dan cuba naikkan secepat mungkin.
Bahagian dalam mulut ikan selongsong sangat keras, sering kali mata kail hanya akan tersangkut di bahagian tepi mulutnya, susah untuk mendapatkan solid hook up terutama dengan mata kail yang kurang tajam. Oleh yang demikian sekiranya tali kendur mata kail akan lebih mudah terlepas ketika ia melompat-lompat atau melibas-libaskan badannya.