Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Berikutan penularan sebuah video di media sosial, baru-baru ini, yang menunjukkan sejumlah besar ikan terdampar di kawasan persisiran Pantai Jerudong, Jabatan Perikanan menjelaskan dan mengesahkan bahawa kejadian tersebut adalah benar dan berlaku di lokasi yang dinyatakan.
Jabatan Perikanan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan telah melaksanakan pemantauan serta analisa ke atas sampel ikan serta keadaan air di kawasan berkenaan, dan mengesahkan kejadian tersebut bukan berpunca daripada sebarang kejadian air kemerah-merahan atau pencemaran sisa toksik.
Pada masa yang sama, Jabatan Perikanan turut mengingatkan para nelayan supaya mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang mampan dan tidak membuang hasil tangkapan sampingan ke laut secara tidak bertanggungjawab.
Amalan ini bukan sahaja penting bagi memelihara kelestarian sumber perikanan negara, malah turut membantu dalam menjaga keseimbangan ekosistem marin serta memastikan kesinambungan hasil laut untuk generasi akan datang.
Di samping itu, pihak jabatan telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang persisiran Pantai Jerudong dan mencatatkan anggaran sejumlah 180 kilogram ikan terdampar yang telah pun dikutip dan dilupuskan.
Sehubungan itu, orang ramai dan para nelayan dinasihatkan agar tidak berasa cemas atau bimbang dengan kejadian ini.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarluaskan sebarang maklumat yang belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Selain itu, sebarang maklumat atau pertanyaan yang berkaitan boleh disalurkan secara langsung kepada Jabatan Perikanan melalui beberapa platform terbuka dalam bentuk laman web dan akaun-akaun media sosial jabatan berkenaan.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Perikanan di talian 2770068 (waktu bekerja) atau melalui e-mel di enquiry@fisheries.gov.bn.
