Oleh Raz AS –
Apabila ditanya mengenai ikan apakah yang mempunyai renangan terpantas di dunia, tentu sahaja ramai yang sudah mengetahui bahawa ikan layaranlah yang mengungguli gelaran itu.
Ikan layaran atau juga dikenali sebagai sailfish dalam bahasa Inggerisnya, merupakan spesies ikan daripada keluarga istiophoridae, genus istiophorus, iaitu spesies ikan berparuh, seperti mersuji dan todak.
Apa yang membezakan ikan layaran daripada sepupunya, mersuji dan todak, adalah sirip dorsalnya yang panjang dan lebar, seakan-akan layar kapal, di sepanjang bahagian belakangnya, dengan badannya yang berwarna biru kelabu.
Di seluruh dunia terdapat dua spesies ikan layaran yang telah dikenal pasti, iaitu ikan layaran atlantik atau istiophorus albican, yang menghuni Lautan Atlantik yang bersuhu dingin, dan ikan layaran indo-pasifik atau istiophorus platypterus yang menghuni Lautan India dan Pasifik termasuk di perairan negara kita. Meskipun begitu ikan layaran indo-pasifik juga boleh ditemui di kawasan Lautan Atlantik di Laut Mediterranean.
Secara amnya, ikan layaran boleh membesar sehingga kira-kira tiga meter panjang dengan berat sehingga 100 kilogram, dan jangka hayatnya pula boleh mencecah sehingga kira-kira antara 13 hingga 15 tahun.
Dengan catatan kepantasan renangannya yang boleh mencecah sehingga hampir 70 batu/jam iaitu kira-kira 112kilometer/jam, ikan layaran telah menobatkan sebagai ikan terpantas di dunia meskipun terdapat sesetengah pihak pakar telah menyangkal dakwaan tersebut.
Siripnya yang lebar selalunya akan berada dalam keadaan dilipat kecuali semasa menyerang mangsanya. Ikan pelagik ini akan menyerang mangsa menggunakan paruhnya yang panjang, dengan menghambat-hambatkannya ke kiri dan ke kanan untuk mencederakan mangsa yang terdiri daripada ikan-ikan kecil sebelum memakannya. Selain itu ikan ini turut menjadikan moluska dan krustasea sebagai sebahagian daripada dietnya.
Dalam arena dunia pancing, ikan layaran dianggap sebagai salah satu spesies ikan terhebat dan terhandal di dunia kerana daya juangnya yang sangat tinggi dan bijak melepaskan diri dengan aksi melompat-lompatnya yang tidak kunjung sudah. Oleh itu tidak hairanlah sesiapa sahaja yang pernah menewaskannya dianggap sudah mempunyai ‘lesen’ memancing.
Walaupun terkenal di dunia pancing namun ikan ini tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam industri perikanan. Di sesetengah tempat penangkapan ikan layaran sama sekali diharamkan kecuali sekadar untuk rekreasi dengan kaedah tangkap dan lepas.