Bagi seorang kaki pancing atau yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti memancing pernah melihat orang-orang yang lebih arif akan mencelup tangan mereka ke dalam air untuk merasa suhu air apabila ikan kurang memakan umpan.
Setelah itu mereka akan menyatakan ‘air sejuk’ yang membawa kepada konotasi negatif yang kurang enak didengar. Menurut orang-orang yang pakar memancing, keadaan air sejuk dapat mempengaruhi hasil memancing. Namun adakah pernyataan ini benar atau sekadar pandangan beberapa orang pemancing.
Secara umumnya, iklim di negara kita dan negara jiran seperti Malaysia adalah panas. Hal ini kerana negara kita terletak di garisan khatulistiwa. Namun, bila berlaku sedikit perbezaan suhu, ia akan memberi kesan signifikan kepada hasil pancingan sama ada ikan galak atau terus mengunci mulut.
Kebanyakan ikan akan aktif mencari makan apabila suhu betul-betul berada dalam tahap keselesaan mereka. Ini kerana ikan adalah makhluk yang berdarah sejuk, maka suhu persekitaran akan mempengaruhi suhu mereka. Oleh itu, haiwan ini cenderung untuk mendiamkan diri, pergi ke tempat lain, atau turun rapat ke dasar apabila suhu sekitar menjadi lebih sejuk daripada tahap keselesaan haiwan itu.
Namun, apabila suhu menjadi lebih tinggi daripada zon keselesaan, contohnya kolam yang sedang mengering di bawah sinaran matahari, kita akan dapat melihat ikan tercungap-cungap di permukaan air kerana suhu tinggi menyebabkan air kurang oksigen dan ikan sukar untuk bernafas.

Konsep atau teori thermocline adalah bermaksud satu lapisan atau tahap air yang mempunyai suhu berbeza berbanding lapisan atas atau di bawahnya. Ikan cenderung untuk berlegar-legar di lapisan thermocline kerana ia adalah suhu yang ideal buat mereka dan merupakan kawasan yang mempunyai lebih banyak oksigen berbanding lapisan atas. Cuaca hujan biasanya akan membuatkan suhu air jatuh dengan drastik. Apabila suhu air jatuh mendadak menjadi sejuk, kebanyakan spesies ikan umumnya akan menjadi pasif. Pada waktu ini, hanya spesies seperti ikan duri yang galak mengacau umpan. Jikalau situasi ini berlaku, sebaiknya untuk berpindah ke tempat lain atau pulang ke rumah untuk berehat dahulu sementara menunggu arus membawa kembali air yang panas.
Sekiranya kita memancing di sungai mati atau kolam yang terbiar pada hari yang sangat panas, suhu permukaan air boleh menjadi terlampau tinggi oleh sinaran matahari. Apabila perkara ini berlaku, air akan hilang ketumpatan dan oksigen akan mula berkurangan yang membuatkan ikan sukar untuk bernafas. Ikan akan mencari tempat teduh atau pergi ke kawasan lebih dalam di mana ia lebih sejuk. Cuba sasarkan gewang ke kawasan teduh seperti bawah pokok kerana selalunya ikan berada di sana.
Walau bagaimanapun, tidak semua spesies ikan terjejas dengan perubahan suhu. Hal ini kerana ada sesetengah ikan sangat aktif pada musim hujan kerana ia musim mengawan bagi mereka. Pada waktu inilah ramai pemancing turun untuk memburu kerana ia musim terbaik untuk menjumpai kawanan ikan berkenaan. – Agensi