TOKYO, 5 JAN – Pembida tertinggi di pasar ikan Tokyo mengumumkan bahawa mereka membayar AS$1.3 juta untuk seekor ikan tuna hari ini, harga kedua tertinggi yang pernah dibayar pada lelongan tahunan berprestij sempena Tahun Baharu.
Restoran sushi berbintang Michelin, Onodera Group, berkata mereka membayar 207 juta yen untuk tuna sirip biru seberat 276 kilogram (kg), kira-kira saiz dan berat sebuah motosikal.
Itu adalah harga kedua tertinggi yang dibayar pada lelongan pembukaan tahun ini di pasar ikan utama Tokyo sejak data seumpamanya mula dikumpulkan pada tahun 1999.
Pembeli berkuasa itu telah membayar harga tertinggi selama lima tahun berturut-turut, menjadi kebanggaan kepada mereka dan mendapat perhatian meluas media di Jepun.
“Tuna pertama adalah sesuatu yang membawa tuah,” kata Shinji Nagao dari Onodera kepada wartawan selepas lelongan.
“Harapan kami adalah agar orang ramai menikmati tuna ini dan memperoleh tahun yang indah.”
Onodera Group membayar 114 juta yen untuk tuna terbaik tahun lalu. Namun, harga lelongan tertinggi yang pernah dicatatkan adalah 333.6 juta yen untuk tuna sirip biru seberat 278kg pada tahun 2019, ketika pasar ikan dipindahkan dari kawasan tradisional Tsukiji ke kemudahan moden di Toyosu.
Bidaan rekod itu dibuat oleh Kiyoshi Kimura, yang menggelar dirinya sendiri sebagai ‘Raja Tuna’ mengendalikan rangkaian restoran Sushi Zanmai.
Semasa pandemik COVID-19, harga tuna tahun baharu hanya mencatatkan sebahagian kecil daripada harga tertinggi biasa, kerana orang ramai tidak digalakkan makan di luar dan restoran mempunyai operasi juga terhad. – AFP