Oleh Raz AS –
Ikatan Easy Snell merupakan teknik ikatan yang digunakan untuk menghubungkan tali pancing ke mata kail, yang boleh dikatakan sangat popular digunakan oleh kalangan pemancing di seluruh dunia.
Rata-rata kebanyakan pemancing yang penulis kenali atau temui sering menggunakan teknik ikatan ini untuk mengikat mata kail mereka atau sekurang-kurangnya mengetahui teknik mengikatnya.
Ini tidak kiralah sama ada ketika mereka memancing ikan besar atau kecil, mahupun memancing udang.
Sementara itu, bagi penulis sendiri, Easy Snell Knot adalah antara teknik ikatan yang paling gemar digunakan oleh penulis dan merupakan teknik ikatan mata kail yang pertama diajarkan oleh ayah kepada penulis ketika zaman kanak-kanak dahulu.
Oleh itu, berdasarkan pengalaman penulis sendiri menggunakannya, Easy Snell Knot boleh dikatakan sebagai teknik ikatan mata kail yang mempunyai kekuatan yang boleh diharapkan. Bukan itu saja, pemancing profesional elit Amerika Syarikat, Kevin Hawk, turut mengesyorkan penggunaan ikatan ini.
Seperti namanya, ikatan Easy Snell Knot ini merupakan teknik ikatan yang sangat mudah dibuat dan dengan hanya sedikit latihan awda sudah boleh menguasainya dan membuatnya dengan cepat tanpa memakan masa yang lama.
Cara-cara membuat ikatan ini adalah seperti berikut; pertama sekali masukkan hujung tali pan-cing ke dalam lubang mata kail dari arah depan, setelah itu tahankan tali pancing ke batang mata kail dengan jari sambil hujung tali dililitkan ke batang pancing dan tali tersebut.
Jumlah lilitan adalah bergantung pada ketebalan tali yang digunakan, namun selalunya bagi penulis ia adalah dalam anggaran empat ke tujuh kali lilitan. Jika tali tebal digunakan, jumlah lilitannya adalah kurang dan jika tali halus pula sebaliknya.
Langkah seterusnya adalah memasukkan hujung tali yang dililitkan tadi ke dalam lingkaran tali yang terhasil di bahagian bawah lilitan tersebut. Tarik hujung tali perlahan-lahan, basahkan tali dengan air, kemudian tarik hujung tali dan pangkal tali bagi mengemaskan ikatan.
Sebagai langkah terakhir, tahan mata kail dan tarik pangkal tali agar ikatan kemas berada di bawah lubang mata kail.
Setelah itu, potong lebihan hujung tali dan ia sudah siap untuk digunakan.
Ikatan itu juga boleh digunakan untuk mengikat mata kail yang mempunyai batang tidak berlubang, atau eyeless hook.