Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IKEA tarik balik produk penekan bawang putih berwarna hitam

    KUALA LUMPUR, 12 JUN – Peruncit kelengkapan rumah, IKEA Malaysia meminta semua pelanggan yang memiliki produk penekan bawang putih 365+ VÄRDEFULL berwarna hitam, supaya berhenti menggunakan alat itu serta-merta.

    IKEA dalam kenyataan memaklumkan hal ini kerana terdapat ralat dalam pengeluaran yang dikenal pasti selepas penyiasatan dalaman dijalankan, menunjukkan terdapat risiko kepingan logam kecil tertanggal semasa penggunaan alat itu dan kemudian ditelan bersama-sama makanan.

    Gambar Agensi

    “Oleh yang demikian, IKEA menarik balik penekan bawang putih IKEA 365+ VÄRDEFULL, hitam, dari cap tarikh 2411(YYWW) (11 Mac 2024-17 Mac 2024) hingga 2522 (YYWW) (26 Mei 2025-1 Jun 2025), dengan nombor artikel 201.521.58, 305.781.89 dan 601.636.02.

    “Produk yang terjejas boleh dikenal pasti dengan penandaan logo IKEA pada pemegang atas produk. Sekiranya pelanggan masih tidak dapat mengenal pasti, mereka boleh menghubungi IKEA untuk mengembalikan sebarang penekan bawang putih IKEA 365+ VÄRDEFULL, hitam dan dapatkan bayaran balik,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Menurut IKEA, produk yang terjejas boleh dikembalikan di Kaunter Pemulangan dan Penukaran di mana-mana gedung IKEA untuk bayaran balik penuh, tanpa perlu mengemukakan bukti pembelian (resit).

    “Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan IKEA 03-7952 7575,” menurut kenyataan itu.

    IKEA turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul, dan menyeru pelanggan untuk menyebarkan maklumat panggilan balik ini, terutamanya jika produk berkenaan telah diberikan, dipinjamkan atau dijual kepada pihak lain. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda