LISBON, 2 Mei – Penjaga gol veteran Iker Casillas berkata ‘segala-galanya berada dalam kawalan’ selepas dia mengalami serangan jantung ketika latihan, semalam.
Pemain berusia 37 tahun yang memiliki 167 penampilan bersama Sepanyol itu dan mengharungi 500 perlawanan untuk Real Madrid dijelaskan oleh kelabnya, Porto sebagai mengalami ‘Penginfarkan miokardium akut’ ketika sesi latihan pada hari berkenaan.
“Segala-galanya berada dalam kawalan, ketakutan yang besar tetapi semuanya masih utuh. Terima kasih atas semua mesej dan kasih sayang,” kata Casillas di Twitter.
Kelab Portugal itu dalam satu kenyataan berkata, “Sesi latihan berkenaan ditangguhkan bagi memberikan bantuan” dan menambah Casillas berada di hospital di Porto dan berada dalam keadaan “baik, stabil dan masalah jantungnya diselesaikan.”
Media Portugal melaporkan Casillas menjalani pembedahan dan kempennya pada musim ini sudah berakhir.
Porto ketika ini berada di tangga kedua Kejuaraan Portugal dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Benfica dan dijadual bertemu Sporting Lisbon di final Piala Portugal pada 25 Mei ini. Berita mengenai situasi yang menimpa Casillas pantas mencetus kebimbangan peminatnya, bekas rakan sepasukan dan lawan.
“Tunjukkan keberanian kawan. Saya berharap kamu sembuh dengan cepat,” kata bekas rakan sepasukannya di Real, Cristiano Ronaldo di Instagram.
Rakan senegaranya di Sepanyol, Gerard Pique menulis di Twitter, “Teruskan berjuang Iker, semoga cepat sembuh kawan!” Bintang tenis, Rafael Nadal dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang kedua-duanya peminat Real turut memberikan sokongan mereka kepada Casillas.
Casillas yang menyertai Porto pada 2015 akan mencecah usia 38 tahun pada bulan ini dan baru-baru ini melanjutkan kontraknya bersama kelab itu bagi tahun depan dengan pilihan lanjutan selama setahun. – AFP