Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Warga perkhidmatan awam yang baru berkhidmat diharap akan terus bekerja dengan gigih, tekun dan bersikap komited dengan kerja mereka.
Di samping itu, mereka perlu mempunyai sikap jujur, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka seperti patuh kepada peraturan pejabat.
Seruan itu antara nasihat yang diberikan oleh salah seorang penerima Pingat Kerja Lama (P.K.L), Pekerja Adat Istiadat, Jabatan Adat Istiadat Negara, Awang Muhd Murhadi @ Eddynoor bin Ali ketika ditemu bual oleh Media Permata semasa Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Beliau menyatakan syukur atas pengurniaan P.K.L itu di mana beliau merupakan salah seorang warga perkhidmatan awam yang menerima pingat berkenaan yang mana ia semua adalah atas doa ibu bapa, kaum keluarga serta rakan-rakan sekerja.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan yang telah membimbing mereka dan menunjuk ajar dalam bidang kerja yang telah diamanahkan kepada mereka.


Manakala itu, Pembantu Kerani, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Dayang Hayati binti Ismail berkata, penganugerahan pingat itu merupakan satu pengiktirafan atas khidmat dan bakti sebagai seorang warga perkhidmatan awam.
Ia merupakan satu anugerah yang amat bermakna baginya yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 24 tahun di mana pingat itu adalah imbalan bagi perkhidmatannya.
Beliau berharap para warga perkhidmatan awam yang baru berkhidmat untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan kerja seperti dari segi kedatangan dan tingkah laku.
Beliau turut menyatakan bahawa pelbagai cabaran dan kenangan pahit serta manis yang dilalui sepanjang berkhidmat 24 tahun itu, namun sikap tolong-menolong dan kerjasama dalam satu jabatan memudahkan lagi baginya dan rakan-rakan setugas untuk menghadapi serta menangani pelbagai cabaran yang dilalui.
Manakala itu, bagi Kerani Penelitian, Jabatan Perangkaan, JPKE, Dayang Junaidah binti Haji Othman, berkata, pelbagai cabaran yang harus dilalui ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan selama 24 tahun berkhidmat tetapi berkat kerjasama di antara rakan-rakan sepejabat banyak membantu meringankan lagi cabaran yang dilalui.
Mengulas mengenai dengan penganugerahan P.K.L itu, beliau berasa amat bersyukur sebab ia satu pengiktirafan atas tugas yang dilaksanakan tetapi, beliau menambah, dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, ia bukan semata-mata mendapatkan pingat tetapi kerana ikhlas untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Bagi mereka yang baru berkhidmat dengan perkhidmatan awam, beliau berharap mereka akan dapat bekerja dengan titih, komited dan mereka harus berusaha menggunakan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya serta terus meningkatkan ilmu pengetahuan mereka, di mana usaha dan komitmen itu mampu menjadi motivasi bagi mereka untuk terus berkhidmat dengan tekun serta amanah.