Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikhlas dalam sampaikan ilmu

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Guru-guru dan kakitangan sekolah dinasihatkan agar terus berusaha dengan lebih gigih dan menjalankan amanah serta tanggungjawab sebagai seorang pendidik.

    “Apa yang paling penting perlu ada dalam diri seorang insan bergelar pendidik adalah niat yang tulus dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik agar segala pekerjaan berjalan dengan lancar dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.”

    Kata-kata nasihat dan dorongan itu disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Lumapas, Hajah Masnoh binti Haji Mahali yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) dalam Kepimpinan Sekolah pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Semasa ditemui, Hajah Masnoh menyatakan rasa syukur dan tidak menyangka tercalon menjadi penerima anugerah tersebut.

    Menurutnya, anugerah itu bukan sahaja hasil daripada penat lelah yang dicurahkan bahkan juga sokongan padu daripada semua guru dan kakitangan sekolah.

    Hajah Masnoh menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru dalam Kepimpinan Sekolah.
    Dayang Suraya menerima Anugerah Penghargaan dalam Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu.
    Hajah Maisalamah menerima Anu-gerah Penghargaan dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu.

    Bagi beliau, guru-guru dan kakitangan sekolah merupakan tulang belakang sesebuah institusi pendidikan dalam menjadikan pentadbiran dan penyampaian pembelajaran menjadi lebih berkualiti.

    “Bagi saya, tanpa adanya kerjasama dan sokongan padu daripada mereka mustahil untuk saya menjalankan peranan dan tugas saya sebagai seorang pemimpin sekolah.

    “Oleh itu, kerja berpasukan yang kukuh bersama guru dan kakitangan sekolah membuat saya lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk menjalankan tugas,” jelasnya yang kini sudah lima tahun menjadi guru besar sekolah tersebut.

    Beliau juga menekankan bahawa komunikasi yang jelas dan padu antara pemimpin sekolah dengan kakitangan adalah perlu dalam menjalan-kan tugasnya sebagai seorang guru besar lebih efisien.

    Sementara itu, Dayang Suraya binti Haji Julaihi dari Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha tidak mampu mengungkapkan perasaannya dengan kata-kata apabila menerima Anugerah Penghargaan (Special Mention) dalam Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu setelah menceburi bidang pendidikan selama 16 tahun.

    “Bagi saya apabila menerima anugerah ini, ia merupakan satu penghargaan yang amat tinggi pernah dicapai sepanjang kerjaya sebagai seorang guru. Ucapan terima kasih tidak lupa diucapkan kepada keluarga yang menjadi pendorong semangat untuk menjadi seorang warga pendidik yang cemerlang, terutamanya kepada abang dan kakak yang juga merupakan seorang guru,” jelasnya.

    Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan kenangan pahit sepanjang menjadi seorang guru iaitu apabila melihat anak didik yang tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan awam.

    Namun, daripada kenangan pahit itu juga menguatkan semangat beliau untuk menjadi lebih gigih berusaha menyampaikan kaedah pembelajaran yang bermutu demi memberi masa depan cerah kepada anak didik.

    “Bagi rakan seperjuangan di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, teruslah berusaha tanpa kenal penat lelah demi melahirkan generasi berilmu, berkualiti dan berpendidikan tinggi selaras dengan wawasan 2035. Bagi pelajar-pelajar, jangan lalai dalam menuntut ilmu dan hargai jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh guru-guru yang banyak berkorban,” nasihat beliau.

    Penerima Anugerah Peng-hargaan (Special Mention) dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu dari Sekolah Rendah Sengkurong, Hajah Maisalamah binti Haji Emran turut menyatakan rasa gembira dan bangga kerana segala usaha dalam mengajar dan mendidik anak bangsa mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

    Bagi beliau yang sudah mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah itu selama lapan tahun, guru besar dan rakan seperjuangan yang banyak membimbing dan memberi kata-kata semangat menjadi pendorong utamanya untuk menyampaikan pembelajaran yang efisien dan berkualiti kepada murid-murid.

    “Pelbagai kerenah murid-murid perlu dihadapi setiap hari, namun sebagai seorang guru perlu menghadapinya dengan penuh kesabaran untuk mendidik anak bangsa. Kerana hasil usaha bukan sahaja untuk diri sendiri tapi untuk anak didik yang saya anggap sebagai anak sendiri,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan kata-kata semangat kepada guru-guru di Sekolah Rendah Lumapas agar terus tabah dalam berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, tambahan lagi dengan perkembangan penggunaan teknologi secara meluas dalam kalangan murid-murid.

    Oleh itu, para guru perlu mengadaptasi dan mahir dalam ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dan menerapnya dalam penyampaian pembelajaran agar menjadi lebih efisien dan berkualiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda