Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ikhlas kunci amalan diterima Allah SWT

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Ikhlas itu merupakan anak kunci yang menentukan amalan seseorang itu diterima oleh Allah atau sebaliknya.

    “Ikhlas juga merupakan ibu bagi segala sifat yang terpuji, hal ini kerana ikhlas itu sendiri bermaksud perilaku yang lahir tanpa dipaksa dan semula jadi yang mana segala kebaikan harus berpusat dan diniatkan kepada Allah,” tekan khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Ikhlas Sifat Terpuji’.

    Menurutnya lagi, ikhlas dari segi bahasa adalah ketulusan hati, membersihkan hati dan memurnikan niat manakala dari segi istilah pula, mengerjakan amal ibadah dengan niat hanya kerana Allah untuk memperoleh redaNya.

    Hati manusia itu, katanya, tidak ubah seperti samudera, kerana di dalamnya terdapat berjuta-juta rahsia, jutaan mutiara hikmah dan kebijaksanaan, kebaikan dan keprihatinan sekali gus jutaan keburukan dan kedustaan.

    Dalam hati manusia itu terdapat keimanan, kemunafikan, kelembutan, kekerasan, kegembiraan, kesedihan, keikhlasan, sifat riak dan sebagainya.

    Terdapat beberapa ciri utama untuk menilai hati yang ikhlas itu, tambah khatib lagi.

    Adapun ciri utama itu antaranya ialah menyukai pemberian Allah kepada manusia lain, tidak terpedaya dengan pujian manusia, lebih banyak menilai kekurangan diri sendiri daripada menilai kekurangan orang lain, menghindari kemasyhuran dan berusaha menyembunyikan amal kebajikan.

    Lawan bagi sifat ikhlas itu adalah riak, di mana terdapat dalam satu cerita daripada hadis Rasulullah SAW yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran mengenai tiga golongan pertama yang merasakan panasnya api negara jahanam.

    Khatib seterusnya mengingatkan untuk terus berhati-hati, kerana setiap perbuatan yang dilakukan tanpa keikhlasan dan dengan tujuan untuk mendapatkan sanjungan, walaupun sanggup berjihad, sanggup mengorbankan nyawa, tapi jika dilakukan dengan niat untuk mendapatkan pujian dan penghargaan, Allah tidak akan memandangnya sebagai pahala sebaliknya Allah akan menempatkan dan mencampakkan ke dalam nerakaNya.

    “Marilah kita muhasabah diri dengan membetulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dan apabila terdetik perasaan riak dalam hati, segera ingat pada Allah dan memohon keampunanNya.

    “Oleh itu, sama-samalah kita berdoa semoga kita terhindar daripada sifat riak, memohon pada Allah agar hati kita sentiasa ditetapkan dalam iman, hidup dan mati kita sentiasa dalam keimanan, dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam syurga bersama orang-orang yang beriman,” tekan khatib semasa mengakhiri khutbahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...