Saturday, November 30, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iklan anti-persaingan, Kanada saman Google

    OTTAWA, 29 NOV – Badan pengawas persaingan Kanada kelmarin mengumumkan tindakan undang-undang terhadap Google, menuduh syarikat itu melakukan ‘tingkah laku anti-persaingan’ dalam pengiklanan dalam talian.
     
    Iklan biasanya dibeli dan dijual melalui lelongan automatik dan diuruskan oleh perniagaan menggunakan teknologi pengiklanan – satu sistem yang juga menentukan iklan dalam talian yang mana satu dilihat pengguna ketika melayari laman web. 
     
    Hasil siasatan Biro Persaingan mendapati Google merupakan penyedia terbesar alat teknologi pengiklanan di Kanada. Pesuruhjaya Matthew Boswell menyatakan Google telah ‘menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan tindakan yang memaksa peserta pasaran menggunakan alat teknologi pengiklanannya sendiri.”
     
    Badan itu menuduh Google memberi keutamaan kepada alatnya sendiri dalam akses inventori iklan, menjual iklan dengan kerugian bertujuan menyekat pesaing, dan menetapkan syarat bagi penggunaan alat teknologi pengiklanan pihak lain. 
     
    Boswell berkata beliau akan meminta tribunal untuk mengimbangi keadaan dengan memaksa Google menjual dua alat teknologi pengiklanannya dan membayar penalti yang belum ditentukan.
     
    Jurucakap Google, Dan Taylor berkata syarikat itu bersedia untuk mempertahankan diri daripada tuduhan yang menurutnya ‘mengabaikan persaingan sengit di mana pembeli dan penjual iklan mempunyai banyak pilihan.’
     
    Pada bulan Jun 2021, badan persaingan Perancis mendenda Google sebanyak 220 juta euro kerana mengutamakan perkhidmatannya sendiri dalam sektor pengiklanan dalam talian. 
     
    Amalan pengiklanan Google juga tertakluk kepada siasatan atau prosiding di Britain, Kesatuan Eropah, dan Amerika Syarikat (AS). Minggu ini, Google dan kerajaan AS bertemu di mahkamah persekutuan dalam kes yang berkaitan dengan dakwaan dominasi tidak adil Google dalam pengiklanan dalam talian. 
     
    Jika hakim memutuskan bahawa Google bersalah, fasa baharu perbicaraan akan menentukan bagaimana syarikat itu perlu mematuhi keputusan tersebut. – AFP
     
    Logo Google kelihatan di ibu pejabat Google di Brussels, pada 23 Mac 2010. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda