JAKARTA, 16 NOV – Penganjur perjudian didapati menggunakan taktik pemasaran mengelirukan untuk menyasarkan pengguna di platform Meta di Indonesia, meskipun ia melanggar dasar syarikat dan larangan keras kerajaan terhadap aktiviti itu.
Siasatan AFP mendapati puluhan iklan berbayar berkaitan perjudian disamarkan sebagai kandungan biasa bagi mengelakkan larangan Meta terhadap promosi sedemikian di Indonesia.
Perjudian dalam talian dan luar talian, serta mempromosikannya, adalah menyalahi undang-undang di negara itu, namun berbilion-bilion dolar masih mengalir melalui sektor tersebut setiap tahun.
Meta berdepan kemungkinan disanksi oleh kerajaan jika gagal menangani pelanggaran tersebut.
Iklan-iklan di Facebook, Instagram dan Threads seolah-olah mempromosikan permainan video atau rawatan untuk penyakit seperti diabetes, namun sebenarnya mengarahkan pengguna ke laman pertaruhan.
“Ia semakin membimbangkan,” kata Zee, seorang pemain permainan video berusia 32 tahun dari Indonesia yang menemui iklan tersebut di Instagram.
“Saya rasa sasaran mereka ialah orang yang suka bermain permainan, jadi kanak-kanak juga boleh melihat iklan seperti ini,” kata Zee, yang enggan mendedahkan nama sebenar atas sebab privasi.

Seorang lagi pengguna media sosial berusia 24 tahun, yang mahu dikenali sebagai Moli, berkata dia sering melaporkan iklan tersebut di Instagram, namun ia tetap muncul kembali.
Meta tidak memberikan sebarang respons terhadap permohonan komen, namun hampir dua dozen iklan yang dikongsikan AFP sebagai sampel kemudian dipadamkan.
Pihak berkuasa Indonesia berkata mereka telah menurunkan lebih 5.7 juta kandungan dalam talian berkaitan perjudian dalam tempoh lapan tahun lalu.
Pihak polis turut meningkatkan penguatkuasaan, dengan sekurang-kurangnya 85 individu berpengaruh ditahan tahun lalu kerana mempromosikan pertaruhan dalam talian.
Hukumannya berat, termasuk penjara sehingga 10 tahun, manakala kegiatan perjudian itu sendiri boleh dihukum sehingga empat tahun penjara.
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital berkata mereka kerap meminta platform media sosial untuk menurunkan kandungan berkaitan perjudian dan akan mengeluarkan surat amaran sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi.
Pada Oktober lalu, kementerian tersebut menggantung sementara lesen operasi TikTok kerana platform itu enggan memberikan data berkaitan dakwaan pengewangan aktiviti langsung daripada akaun yang disyaki terbabit dalam perjudian dalam talian. – AFP

