SYDNEY, 26 SEPT – Kerajaan Australia hari ini berkata bahawa planet yang semakin panas mengancam hasil tanaman masa depan, manakala perbelanjaan persekutuan untuk bencana ribut, banjir dan kebakaran sudah meningkat dengan ketara.
Model terbaharu kerajaan menunjukkan bahawa pemanasan global dan bencana alam mempunyai ‘kesan besar terhadap ekonomi’, kata Bendahari, Jim Chalmers dalam ucapan yang disediakan.
Hasil tanaman boleh menjadi empat peratus lebih rendah menjelang 2063 jika tindakan lanjutan tidak diambil, dengan kos sebanyak AUS$1.8 bilion setiap tahun dalam mata wang hari ini, katanya dalam forum kemarau kebangsaan di Rockhampton, Queensland.
Kebakaran belukar ‘Black Summer’ yang membawa maut pada 2019-2020 dan banjir pantai timur Oktober 2022 masing-masing telah menelan belanja kira-kira AUS$1.5 bilion, kata Chalmers, dan kerajaan persekutuan telah meningkatkan perbelanjaan secara mendadak untuk membantu negeri-negeri dan wilayah-wilayah pulih daripada bencana alam.
Perbelanjaan persekutuan untuk pemulihan bencana pada tahun kewangan 2022-2023 berjumlah kira-kira AUS$2.5 bilion, tambahnya, lebih tujuh kali ganda daripada AUS$335 juta yang dibelanjakan pada 2017-2018.
Pembiayaan bagi bantuan kerajaan persekutuan itu telah meningkat lima kali ganda dalam tempoh tiga tahun, kata menteri itu.
“Tekanan iklim yang berubah-ubah dan bencana alam yang lebih kerap adalah berterusan, bertindih dan terkumpul,” kata Chalmers. – AFP


