Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Sidang Kemuncak Cita-Cita Iklim yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat pada 20 September.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM, di sini, turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.
Sidang kemuncak dibuka dengan ucapan pembuka tirai daripada Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres yang menggesa pemimpin dunia, perniagaan dan institusi kewangan untuk komited kepada tindakan yang bermakna seperti mematuhi cadangan Pakatan Perpaduan Iklim.
Pakatan itu menyeru agensi atau industri utama yang melepaskan gas rumah hijau untuk meningkatkan usaha mengurangkan pelepasan dan bagi negara-negara maju untuk membantu ekonomi yang sedang pesat membangun.
TYT Antonio Guterres juga mencadangkan agenda bagi mempercepatkan tindakan yang menyeru kerajaan negara-negara maju untuk mencapai sifar bersih menjelang 2040 dan menjelang 2050 bagi negara-negara yang pesat membangun selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama.
TYT Antonio Guterres mengakhiri ucapannya dengan menyeru negara-negara bersatu untuk beralih daripada rancangan kepada tindakan yang lebih nyata dengan harapan ia dapat mewujudkan masa depan yang mampan dan saksama untuk semua.
Sidang kemuncak berkenaan diadakan sebagai bukti keazaman dan kesatuan global untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi dunia yang saksama, dipacu tenaga yang boleh diperbaharui dan berdaya tahan iklim.


