Dikritik kerana membintangi filem Pulau, pelakon, Ikmal Amry berkata dia berlapang dada menerima sebarang komen negatif daripada warganet.
Meskipun namanya sedikit terjejas, Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 29, berkata kecaman yang diterima itu juga merupakan satu bentuk pemasaran yang baik.
“Bad marketing is marketing juga bagi saya. Saya bersyukur walaupun belum ditayangkan ia dah hangat diperkatakan.
“Marketing percuma untuk diri saya walaupun sedikit buruk tapi apa yang saya tahu saya tak lakukan apa-apa yang salah.
“Cuma korang kena beri peluang kepada kami untuk terus berkarya dan apa yang ingin kami sampaikan. Banyak pengajaran yang boleh diperolehi dari filem ini,” katanya kepada mStar.
Mengulas mengenai filem tersebut, Ikmal memberitahu dia berpuas hati dengan apa yang telah diusahakan dalam filem berkenaan.
Malah dia teruja menanti reaksi daripada penonton susulan kontroversi yang berlaku sebelum ini.
“Saya sebenarnya lebih tertunggu-tunggu apa reaksi penonton tapi saya berpuas hati dengan hasil kerja saya dan apa yang telah saya korbankan untuk watak dalam filem ini.
“Alhamdulillah saya berjaya hasilkan filem ini dengan baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ikmal turut memberitahu bahawa dia melalui pelbagai cabaran semasa menjalani penggambaran malah dirinya turut terluka semasa menjayakan watak berkenaan.
Lebih unik lagi apabila segala babak yang dilakonkan oleh Ikmal tidak menggunakan pelakon aksi.
“Bagi saya filem ini agak mencabar kerana terpaksa berenang, agak susah kerana saya hanya perenang kampung.
“Saya masukkan kaki ke dalam laut pun dah luka-luka tapi saya berpuas hati dapat segala luka untuk filem yang seperti ini,” ujarnya.
Selain Ikmal, filem Pulau turut menampilkan pelakon Amelia Henderson, Alif Satar, Ms Puiyi, Mark O’Dea dan Vikar. – Agensi
