DESHAIES, 2 JAN – Pulau Caribbean Guadeloupe, yang terkenal dengan pantai tropikanya, merancang untuk menebang sebahagian pokok kelapa ikoniknya dalam usaha mengurangkan hakisan pantai serta membanteras penyakit pokok yang berjangkit.
Walaupun sering dikaitkan dengan kawasan Hindia Barat, pokok kelapa sebenarnya bukan spesies asli kepulauan Perancis itu. Pokok itu juga tidak mempunyai keupayaan seperti spesies tempatan untuk mengukuhkan akar secara mendalam.
Meskipun batangnya tinggi, sistem akar pokok kelapa hanya meliputi kawasan kurang daripada satu meter persegi dari pangkal batangnya. Oleh itu, ia tidak mampu mengukuhkan pasir bagi menghalang hakisan yang disebabkan oleh ombak kuat, menurut Jabatan Alam Sekitar Guadeloupe.
Di pantai La Perle yang indah, pihak berkuasa merancang program selama dua tahun untuk menggantikan sebahagian pokok kelapa di pesisiran pantai dengan spesies tempatan yang akarnya lebih kuat untuk mengurangkan hakisan.
Spesies tempatan juga dipercayai lebih tahan terhadap penyakit yang kini merosakkan pokok kelapa eksotik tersebut.
“Tanpa pokok kelapa, ia mungkin sedikit mencacatkan imej poskad yang biasa kita bayangkan, tetapi pasir dan laut hangat tetap ada,” kata pasangan pesara yang sedang bercuti Krismas di Guadeloupe, Liliane dan Gary.
Pantai di hadapan hotel mereka juga terjejas oleh masalah lain berkaitan pokok kelapa — penyakit kuning yang memusnahkan, yang telah menyebabkan penebangan kecemasan kira-kira 50 pokok.
“Penyakit ini merebak melalui serangga kecil seperti cengkerik,” kata Fabian Pilet dari Pusat Penyelidikan Agronomi Tropika (CIRAD).
“Pokok kelapa itu tidak dapat diselamatkan sebaik sahaja gejala pertama muncul,” katanya. – AFP