Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikon perniagaan India meninggal dunia

    NEW DELHI, 10 OKT – Ratan Tata, tokoh perniagaan India dan bekas pengerusi konglomerat Tata Group meninggal dunia pada usia 86 tahun.

    Tata menerajui Tata Sons, syarikat induk Tata Group selama 21 tahun dan dihormati sebagai antara pemimpin perniagaan paling berpengaruh di India.

    “Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan Ratan yang dikasihi telah meninggal dunia,” menurut kenyataan keluarganya.

    Konglomerat ini mengawal syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk garam, keluli, perisian, syarikat penerbangan, tenaga, bahan kimia, telekomunikasi, hotel dan sistem ketenteraan.

    Tata, meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai kelmarin dan akan diberikan penghormatan negara dalam upacara pengebumian sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya.

    Sebagai ahli komuniti kecil Parsi Zoroastrian, Tata memainkan peranan penting dalam pengembangan global Tata Group pada 1990an, sewaktu India beralih ke arah ekonomi yang lebih terbuka selepas beberapa dekad kawalan ketat negara yang dikenali sebagai licence raj.

    Di bawah kepimpinannya, Tata Group menceburi sektor baharu dan membuat pemerolehan berprofil tinggi termasuk jenama kereta mewah British, Jaguar dan Land Rover pada 2008, perjanjian Teh Tetley pada 2000, serta pembelian pengeluar keluli Anglo-Belanda, Corus pada 2007.

    Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mac 1991 daripada bapa saudaranya, Jehangir Ratanji Dadabhoy Tata, yang dikenali sebagai J.R.D. Tata, yang memimpin kumpulan itu selama 50 tahun selepas ia diasaskan oleh Jamsetji Nusserwanji Tata pada 1868.

    Setelah berkhidmat sebagai pengerusi dari 1991 hingga 2012, Ratan Tata dianugerahkan gelaran kehormat Pengerusi Emeritus bagi Tata Sons, Tata Industries, Tata Motors, Tata Steel, dan Tata Chemicals. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 24 Julai 2008 menunjukkan Ratan Tata semasa bercakap pada mesyuarat agung tahunan Tata Motors ke-63 di Mumbai.– AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda