Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikrar bagi keamanan dan kestabilan di sempadan

    HANOI, 18 Jan – Myanmar dan China berikrar untuk bersama-sama menggalakkan hubungan dua hala, mengekalkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

    Kesepakatan itu dicapai pada perbincangan berkaitan diplomasi dan pertahanan yang berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar, lapor agensi berita Vietnam (VNA). Perbincangan berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri Luar Kong Kong Xuanyou dan Timbalan Ketua Turus Suruhanjaya Tentera Pusat, Shao Yuanming yang mewakili China, manakala Myanmar diwakili Menteri Kerjasama Antarabangsa U Kyaw Tin dan Panglima Tertinggi Pertama Biro Operasi Khas (Tentera) Tun Tun Naung.

    Myanmar dan China juga berikrar untuk melaksanakan kesepakatan yang dicapai para pemimpin kedua-dua negara, selain meningkatkan kerjasama strategik ke peringkat lebih tinggi.

    Panglima Angkatan Pertahanan Myanmar Min Aung Hlaing (kanan) berjabat tangan bersama Timbalan Menteri Luar China (kiri) semasa pertemuan mereka di Nay Pyi Taw di Myanmar, semalam. – Xinhua

    Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pendapat mengenai situasi di utara Myanmar dan sepakat bahawa mengendalikan situasi dengan lebih baik, menjaga keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan, memainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan dua hala, di samping menggalakkan proses damai di Myanmar.

    Kesepakatan lain yang dipersetujui ialah, berikrar menerapkan mekanisme pertukaran dua hala semasa yang berkesan berkaitan diplomasi, ketenteraan dan keselamatan awam; dan meneruskan kerjasama berhubung situasi di utara Myanmar.

    Perbincangan seterusnya akan diadakan di China. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda