Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikrar bantu firma asing

    SEOUL, 27 MEI – Perdana Menteri China, Li Qiang berkata negaranya akan sentiasa terbuka kepada syarikat asing dan menjanjikan langkah untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap ekonomi kedua terbesar dunia itu, lapor media kerajaan.

    Li memberi komen itu semasa pertemuannya dengan pengerusi syarikat teknologi Korea Selatan, Samsung di Seoul kelmarin, sebelum sidang kemuncak tiga hala antara Korea Selatan, China dan Jepun.

    Peneraju dunia dalam semikonduktor dan telefon pintar, Samsung adalah salah sebuah syarikat asing paling terkemuka di China, melabur berbilion-bilion dolar selama ini ke dalam kemudahan yang menghasilkan semikonduktor dan bahan elektronik lain.

    “Perusahaan yang dibiayai asing adalah kuasa yang amat diperlukan untuk pembangunan China dan pasaran mega China akan sentiasa terbuka kepada syarikat yang dibiayai asing,” kata Li semasa pertemuan dengan bos Samsung, Lee Jae-yong, menurut agensi berita Xinhua.

    China akan mengambil langkah termasuk memperluaskan akses pasaran untuk menambah baik persekitaran perniagaan supaya syarikat asing “mempunyai keyakinan dalam pelaburan dan pembangunan mereka di China,” tambahnya.

    “China mengalu-alukan syarikat Korea Selatan termasuk Samsung untuk terus mengembangkan pelaburan dan kerjasama di China”.

    Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah di China berkata bulan ini bahawa firma ahlinya terkesan dengan isu seperti akses pasaran dan sekatan kawal selia.

    Semasa pertemuannya dengan pengerusi Samsung, Perdana Menteri Li juga “menyeru perusahaan China dan Korea Selatan untuk meneroka lebih mendalam potensi kerjasama mereka dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan,” lapor Xinhua. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda