Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikrar cegah kanser

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Jumlah kes kanser baharu di Negara Brunei Darussalam terus meningkat setiap tahun dan pada 2019, sebanyak 704 kes kanser telah didiagnosis di negara ini berbanding dengan 644 kes pada 2018.

    Sehubungan dengan itu, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) bersama pemimpin-pemimpin Negara Brunei Darussalam telah mengesahkan semula ikrar mereka untuk menentang kanser sekali gus menandakan kemuncak Sambutan Hari Kanser Sedunia dalam acara hujung minggu Hari Kanser Sedunia yang berlangsung di Ruang Plaza Terbuka, Kompleks Membeli-belah Yayasan, ibu negara, hari ini.

    Hari Kanser Sedunia yang diraikan setiap tahun pada 4 Februari di seluruh dunia oleh pelbagai institusi adalah bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser dan menggalakkan pencegahan, pengesanan awal, pemeriksaan dan rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa serta membantu mengurangkan beban ekonomi kesihatan.

    Majlis itu dihadiri oleh tetamu-tetamu khas iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga pengerusi PJSC; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, yang juga timbalan pengerusi PJSC.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof berserta isteri masing-masing.

    Menteri-menteri kabinet ketika mengunjungi salah satu pondok pameran pada Sambutan Hari Kanser Sedunia di Kompleks Membeli-belah Yayasan, ibu negara.
    Para menteri kabinet serta isteri bergambar ramai selepas pelancaran acara hujung minggu Hari Kanser Sedunia yang berlangsung di Ruang Plaza Terbuka, Kompleks Membeli-belah Yayasan, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sijil penghargaan kepada Progresif.

    Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, Duta Muhibah dan Utusan Kesedaran Kanser, Wu Chun, penaja-penaja serta rakan-rakan kongsi acara.

    Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dalam kata alu-aluannya menyatakan Hari Kanser Sedunia diraikan setiap 4 Februari di mana seluruh dunia bertindak dan bersatu dalam satu suara untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser.

    Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada komitmen itu, jelasnya, di mana kehadiran para pemimpin serta orang ramai menunjukkan komitmen kerajaan dan pendekatan seluruh negara ke arah mencapai komitmen meningkatkan kesedaran mengenai kanser.

    Menurutnya, 2021 merupakan tahun terakhir bagi tema tiga tahun iaitu kempen I Am and I Will, di mana ia menunjukkan bahawa tindakan-tindakan yang diambil mempunyai kesan kepada semua di sekeliling kita.

    Beliau menekankan jika kita lebih mengetahui dan lebih terbuka mengenai kanser, langkah-langkah proaktif yang kita ambil sebagai sebuah komuniti untuk menyebarkan kesedaran dan mencegah berlakunya kanser peringkat akhir, hasil daripada usaha itu adalah lebih baik.

    Acara hujung minggu Hari Kanser Sedunia dirasmikan dengan pemotongan reben bersama oleh menteri-menteri kabinet yang hadir serta diikuti dengan pelepasan belon dan pelancaran beca yang berjalan sejauh 2km untuk menyebarkan mesej kempen tiga tahun, I Am and I Will, oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

    Tema I Am and I Will, merupakan satu seruan untuk bertindak dan peringatan kuasa kerjasama dan tindakan bersepadu adalah amat penting bagi mencapai sebuah dunia yang lebih cerah dan sihat tanpa kanser.

    Tema pada 2021 iaitu Together All Our Actions Matter, menekankan komitmen individu, komuniti dan pemimpin untuk menjana masa depan tanpa kanser.

    Wu Chun dipetik berkata, kita mempunyai suara dan kuasa untuk mempengaruhi orang lain supaya bertindak ke arah masa hadapan bebas kanser.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada penaja dan rakan-rakan kongsi acara oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. Majlis kemudian menyaksikan para menteri kabinet serta para jemputan menyaksikan pameran seni lukis oleh para pesakit kanser dan bekas-bekas pesakit kanser yang dihasilkan dengan kerjasama The Rainforest Gallery di bawah bimbingan Dato Paduka Haji Shofry bin Haji Abdul Ghafor.

    Karya seni itu melambangkan perjalanan para bekas pesakit kanser di mana mereka mampu menceritakan mengenai kisah pemulihan mereka yang ditonjolkan melalui hasil lukisan mereka.

    Para menteri dan jemputan juga mengadakan lawatan ke pameran yang dikendalikan oleh rakan-rakan kongsi acara dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kanser.

    Acara turut menyaksikan para menteri dan jemputan menyertai sesi senaman taici yang dipimpin oleh Jurulatih Wu Shu Kebangsaan, Zhao Chun Jie. Taici juga terkenal dalam memberikan sumbangan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan individu termasuk para pesakit kanser.

    Menerusi acara itu, PJSC memberikan peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi dan mendekati pakar-pakar dan kakitangan kanser PJSC dalam pelbagai bidang dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kanser.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda