Friday, November 22, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikrar udang tapi seludup rokok, arak

    KUCHING, 1 NOV – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras yang diikrar sebagai produk udang sejuk beku setelah melakukan pintasan di Jalan Kuching-Samarahan Expressway pada 22 Oktober.

    Pengarahnya, Norizan Yahya berkata pihaknya menyita lori 10 tan dengan muatan 3.4 juta batang rokok pelbagai jenama disyaki dari negara jiran dan minuman keras sejumlah 2,376 liter disyaki tidak berkastam dengan anggaran duti dan cukai bernilai RM3.15 juta.

    “Pada 22 Oktober lepas lebih kurang 2 petang, semasa menjalankan rondaan pesisir air di sekitar Bandaraya Kuching, Sarawak sepasukan anggota dari Unit Marin Kuching telah mengesan sebuah lori yang mencurigakan disyaki membawa barang tidak berkastam.

    “Pasukan telah bertindak mengekori lori kargo itu dan berjaya membuat pintasan di Jalan Kuching – Samarahan Expressway,” katanya dalam sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan Kuching JKDM di Kuching hari ini.

    Seorang warga tempatan berusia 40-an yang juga pemandu lori berkenaan turut ditahan bagi siasatan lanjut. Norizan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda