IKS perlu rebut peluang MITI

ALOR SETAR, 14 Mei – Syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu merebut pelbagai peluang disediakan agensi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memacu perkembangan perusahaan mereka ke arah Revolusi Industri 4.0.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata penglibatan syarikat IKS dalam program bersama agensi MITI masih berada pada tahap rendah berikutan kurang pendedahan tentang inisiatif dan peluang disediakan oleh agensi berkenaan.

“Banyak peluang yang disediakan oleh agensi-agensi MITI bertujuan untuk membantu perniagaan IKS. Jadi, banyak peruntukan dan kepakaran telah disediakan untuk membantu mereka, sebab itu kita nak galakkan lebih banyak syarikat untuk mengambil kesempatan itu.

“Dari situ, boleh dilihat adakah kita (IKS) berada pada tahap yang bersedia untuk menerima kaedah yang baharu seperti Polisi Kebangsaan Mengenai Industri 4.0 atau Polisi Industri4WRD dalam menangani cabaran revolusi industri 4.0,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri MITI Datuk Darell Leiking di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan perindustrian, pelaburan dan perdagangan di peringkat negeri. – Bernama