Saturday, December 28, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iktibar melalui sejarah

    Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Md Melayong

    Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja

     

    DALAM era globalisasi masa kini, isu utama yang dihadapi oleh semua pihak ialah masalah sosial yang boleh membawa kehancuran dan ketidak mantapan politik dan ekonomi negara. Ketika Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien menaiki takhta pada tahun 1950 langkah utama yang baginda ambil dalam menanai permasalahan sosial ialah memperbaiki taraf kehidupan rakyat dengan mengurangkan masalah kemiskinan melalui pembaharuan dalam semua bidang sosial.

    Oleh itu, kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah agenda utama dalam strategi pembangunan negara yang dilakarkan oleh baginda sebagai kunci ke arah pencapaian kemerdekaan yang dihasratkan. Oleh itu masalah sosial dalam sebuah negara boleh menjadi sumber atau penyebab kepada kehancuran dalam keruntuhan politik dan ekonomi akibat perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan sesebuah kerajaan.

    Alhamdulillah, bagi Negara Brunei Darussalam, hampir 50 tahun di bawah kepemimpinan Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlandaskan Melayu Islam Beraja, rakyat telah dapat menikmati kehidupan aman sejahtera melalui dasar pemedulian dan keprihatinan Baginda dalam bidang kebajikan dan keperluan rakyat serta penduduk negara ini.

    Meskipun kita telah berjaya menempuh segala rintangan dan cabaran namun pada realitinya Negara Brunei Darussalam tetap tidak terlepas daripada menerima pelbagai masalah sosial kesan daripada modenisasi dan kemajuan globalisasi masa kini.

    Walaupun daripada segi tahap keseriusan masalah tersebut berlaku mungkin berbeza namun secara umumnya setiap negara mempunyai masalah yang sama seperti masalah jenayah, keganasan rumah tangga, keganasan dalam kalangan keluarga, pengabaian, seks bebas, penyalahgunaan dadah, kemiskinan, masalah belia dan penyakit sosial yang lain.

    MIB LOGO 2016 MFC

    Temu bual penulis dengan salah seorang pemegang watak utama bernama Azman dalam Filem Gema Dari Menara iaitu Pengiran Haji Abbas.
    Temu bual penulis dengan salah seorang pemegang watak utama bernama Azman dalam Filem Gema Dari Menara iaitu Pengiran Haji Abbas.

    Masalah-masalah sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak hanya melibatkan satu-satu golongan tetapi melibatkan semua peringkat masyarakat. Di sinilah pentingnya generasi muda, yang menjadi pewaris bangsa Brunei dibekalkan dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja seperti yang telah dititahkan oleh Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kerana generasi muda dianggap sebagai pelaburan penting kepada negara untuk kepastian survival Negara Brunei Darussalam.

    Maka sejak tahun 1984 Baginda Sultan sentiasa memberi peringatan dan nasihat akan perlunya pengamalan nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada identiti, acuan, sistem nilai, jati diri, semangat kebangsaan dan sebagainya untuk dipakai dan amalkan oleh setiap orang walau di mana kita berada tanpa mengira masa, waktu dan tempat.

    Dalam hubungan ini lebih kurang 15 daripada 49 titah Baginda mengenai Melayu Islam Beraja adalah khusus ditujukan kepada generasi muda yang telah disampaikan sepanjang tahun 1984 sehingga tahun 2017.

    Baginda amat menyedari akan kepentingan nilai-nilai Melayu Islam Beraja ini, sebagai salah satu faktor dalam menyelesaikan dan mengurangkan berlakunya permasalahan sosial di negara ini.

    Pada realitinya salah satu daripada punca utama berlakunya masalah sosial pada dewasa ini adalah disebabkan oleh faktor kegawatan ekonomi dan sosial. Aspek ekonomi yang berkaitan dengan kemiskinan mendatangkan kemudaratan kepada golongan kurang mampu.

    Selain itu, ada juga masalah “kemiskinan” yang timbul atas perbuatan sendiri yang berkaitan dengan nilai-nilai materialisme, dan ketuhuran kefahaman serta penghayatan terhadap cara hidup Melayu Islam Beraja; yang menyebabkan ada di antara mereka yang sanggup mengambil jalan singkat untuk mendapat sumber kewangan. Jalan yang diambil ini telah bertentangan dengan tatasusila keBruneian dan ajaran Agama Islam dengan melakukan kerja-kerja jenayah seperti mencuri, merompak, berjudi, bersabung ayam, pelacuran, memakan dadah, menipu, dan penyakit sosial yang lain sudah setentunya melibatkan semua peringkat masyarakat seperti belia, wanita orang dewasa, kakitangan awam dan swasta dan sebagainya.

    Sesungguhnya semua perbuatan dan perlakuan bertentangan dengan ajaran Islam ini sememang merugikan kepada negara dan masyarakat daripada aspek ekonomi, kewangan, tenaga, masa dan sebagainya. Malahan perbuatan tersebut adalah dibenci dan dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai keBruneian. Bahkan dalam jangka panjang boleh mengancam kepada kestabilan sosioekonomi dan politik yang membawa kepada kehancuran dan kemusnahan ketamadunan manusia.

    Dalam hal ini, Baginda Sultan pernah bertitah akan pentingnya semaian benih yang ditanam itu hendaklah bersesuaian dengan iklim dan budaya Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan Melayu Islam Beraja. Sebagaimana titah Baginda:

    Nilai yang paling agong dan tertinggi, iaitu “Konsep Melayu Islam Beraja.” Ia tak syak lagi merupakan benih satu-satunya yang boleh tumbuh dengan suburnya di Bumi Brunei Darussalam.

    Oleh itu untuk membendung dan mengawal masalah sosial ini daripada menular dan merebak dalam kehidupan masyarakat, nilai Melayu Islam Beraja adalah panduan dan tata negara kita dalam melahirkan masyarakat yang sihat dari segi rohani, mental dan jasmani. Inilah teras yang dapat menentukan ketahanan kewujudan ketamadunan bangsa Brunei. Sebagaimana titah Baginda Sultan.

    Kita janganlah lupa perkara ini. Rujuklah sejarah. Berapa banyak tamadun umat Islam yang lebih maju dari tamadun lainnya, tetapi musnah akibat mencuaikan kewajipan beragama. Kita jangan lupakan ‘hakikat sejarah’ yang berharga ini, walaupun ramai orang lain sudah melupakannya. Tetapi bagi Brunei, kita jangan pula melupakannya. Malah ambillah ia sebagai iktibar. Kerana sejarah itu adalah guru, ia tidak pernah berbohong.

    Dalam hal ini sebagai pembuktian kita boleh merujuk beberapa peristiwa sejarah penting yang dilalui oleh negara kita yang berkaitan masalah sosial yang masih berlaku pada sesetengah masyarakat kita walaupunnya ianya ternyata bertentangan dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja misalnya dari segi perjudian haram, persabungan ayam, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Akibatnya adalah kerugian dan kehancuran pada negara dan masyarakat malah merugikan diri sendiri di samping bertentangan dengan undang-undang negara dan dilarang oleh Agama Islam. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Maidah Ayat 90 yang maksudnya:

    Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

    Semoga catatan sejarah akan memberi pengajaran dan keinsafan serta membuka pintu taubat kepada pihak yang berkenaan. Dua peristiwa penting yang menjadi sejarah hitam pada negara ini ialah pertaruhan dan persabungan ayam berdasarkan kepada catatan Syair Awang Semaun dan Salasillah Raja-Raja Brunei serta dalam sejarah lisan. Peristiwa pertama berlaku dalam era pemerintahan Sultan Awang Alak Betatar yang berlaku sekitar abad ke-14 Masihi.

    Persabungan ayam ini berlaku antara ayam Awang Senuai yang bernama Mutiara dengan ayam Radin Angsuka Dewa bernama Asmara dari Kerajaan Majapahit. Dalam perlawanan itu Ratu Majapahit membuat pertaruhan bahawa kalau ia kalah Baginda akan menyerahkan 40 buah kapal serta isi harta di dalamnya kepada Brunei tetapi jika sebaliknya pihak Brunei hendaklan menyerahkan sebahagian wilayah kekuasaannya kepada Kerajaan Majapahit. Dalam perlawanan tersebut Asmara telah dikalahkan oleh Mutiara dan terbang melarikan diri ke laut lalu runduk di Pulau Pilong-Pilongan manakala Mutiara terbang ke Sungai Brunei dan jatuh di Pulau Lumut Lunting. Kenyataan kedua-dua latar belakang sejarah kedua pulau ini adalah simbolik untuk dijadikan iktibar daripada peristiwa persabungan tersebut.

    Peristiwa kedua pula berlaku dalam abad ke-17 Masihi iaitu zaman pemerintahan Sultan Haji Muhammad Ali Sultan Brunei ke-12 (1660-1661) yang mengakibatkan berlakunya Perang Saudara selama 13 tahun dan wujudnya pemerintahan dua orang sultan di bumi Brunei. Peperangan ini berpunca dari persabungan ayam yang membawa pembunuhan Sultan Haji Muhammad Ali yang dikenali sebagai Al-Marhum Tumbang di Rumput.

    Kesannya membawa kesengsaraan dan kesusahan kepada kehidupan masyarakat bahkan merugikan kerajaan dari segi politik dan ekonomi. Sejarah lengkap mengenai peristiwa ini terdapat dalam buku yang dikarang oleh Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Mohd Yusof Bin Pengiran Haji Abdul Rahim yang bertajuk Mahkota Berdarah. Buku yang dilancarkan dalam Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2017, Anjuran Dewan Bahasa dan Pusaka, terbitan Pusat Sejarah Brunei, 2016 bertajuk ‘Ke Arah Pembentukan Negara Melayu Islam Beraja`

    Jelas bahawa memang semua gejala penyakit sosial ini adalah sesuatu masalah yang sentiasa wujud dalam kehidupan masyarakat. Bahkan dalam era selepas Perang Dunia Kedua misalnya pada tahun 1960an hingga 1980an masyarakat Brunei menghadapi isu yang sama. Ini dapat kita lihat berdasarkan kepada usaha-usaha Kerajaan Baginda Sultan dalam membanteras penyakit-penyakit yang meruntuhkan moral dan akhlak generasi muda.

    Ini dapat kita gambarkan berdasarkan kepada program serta langkah-langkah yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan dan Pusat Dakwah dalam penyebaran maklumat serta pengukuhan dakwah Islam ketika itu. Misalnya pembikinan filem pertama Brunei yang bertajuk Gema Dari Menara atas usaha Jabatan Ugama, Negeri Brunei bagi memberi iktibar dan pengajaran kepada masyarakat khususnya golongan belia yang dipengaruhi oleh budaya kuning atau budaya barat ketika itu.

    Penerbitan filem ini melibatkan peranan dan penglibatan pelakon-pelakon tempatan dan luar negeri dari Singapura serta Malaysia dengan memaparkan cara kehidupan generasi muda yang bebas dan terbabas dari landasan nilai-nilai keBruneian ketika itu.

    Kesimpulannya walau di mana kita berada, kita tidak akan terlepas daripada menghadapi fenomena masalah-masalah sosial pada hari ini. Walau bagaimana pun kita bersyukur kerana di Negara Brunei Darussalam jumlah penduduknya yang kecil maka masalah atau isu sosial dapat dikawal hasil dari tindakan bersepadu daripada semua pihak yang berkenaan sama ada pihak kerajaan, swasta, pihak sekolah, keluarga, majikan, serta badan-badan bukan kerajaan dan setiap ahli masyarakat. Panduan serta rujukan bagi setiap tindakan dan dasar yang dijalankan adalah berpandukan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.

    Maka, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dan akan terus mengadakan dan mengatur pelbagai usaha dan strategi ke arah pencegahan dan perawatan masalah sosial. Majlis Kebangsaan Isu Sosial yang telah ditubuhkan sejak tahun 2008 telah mengenal pasti isu-isu sosial yang berlaku di negara ini.

    Majlis telah dan sedang memastikan dasar, akta atau pelan tindakan disediakan bagi menangani isu sosial; dan seterusnya menyelaras dan memastikan pelan tindakan atau program-program mengenai isu sosial dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda