Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iktiraf sumbangan pekerja sosial

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Bersempena Hari Kerja Sosial Sedunia (WSWD) 2024, Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah menganjurkan Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran serta penyerahan sumbangan derma anak-anak yatim bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, petang tadi.

    Pengungkayahan majlis berkenaan berfungsi sebagai penghormatan kepada komuniti pekerja sosial global dan menekankan komitmen PJSC dalam sama-sama memupuk belas kasihan dan sokongan dalam masyarakat.

    WSWD yang disambut setiap tahun pada hari Selasa ketiga di bulan Mac itu mengiktiraf sumbangan penting pekerja sosial di seluruh dunia. Tema tahun ini, Buen Vivir: Shared Future for Transformative Change menekankan kepentingan kesejahteraan kolektif dan kesalinghubungan dalam mewujudkan transformasi masyarakat yang positif.

    Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan dan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil diikuti dengan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Awang Muhd Amaluddin bin Haji Jamaluddin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim pada majlis yang diadakan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sijil kepada salah seorang pesakit yang menyertai aktiviti kumpulan terapeutik pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada majlis itu, seramai 17 orang anak yatim daripada pesakit di bawah Jabatan Kerja Sosial Perubatan telah menerima sumbangan diikuti dengan penyampaian sijil kepada 10 orang pesakit yang telah menyertai aktiviti kumpulan terapeutik anjuran Jabatan Pemulihan PJSC.

    Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai aktiviti kumpulan terapeutik dianjurkan termasuk bengkel di mana pesakit membuat tasbih, biskut dan penanda buku untuk dikongsi bersama kakitangan PJSC, pesakit dan keluarga mereka.

    Selain itu, terdapat bengkel solat untuk pesakit yang bertujuan untuk memberikan sokongan emosi dan rohani semasa rawatan mereka.

    Aktiviti-aktiviti berkenaan bertujuan mewujudkan keceriaan dalam sama-sama melakukan persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri walaupun menghadapi cabaran kesihatan, sekali gus menekankan kepentingan keterangkuman dan saling menghormati untuk semua orang, tanpa mengira keadaan mereka.

    Majlis berkenaan berakhir dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama PJSC dan Pengerusi Jawatankuasa IFH PJSC, Haji Iskhandar bin Haji Buntar, diikuti majlis bersungkai bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda