Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian telah mengadakan Perbincangan Panel bersempena Hari Harta Intelek Sedunia 2018 yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi (D&T), Anggerek Desa, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh yang juga selaku ahli panel bagi Perbincangan Panel ‘Powering Change: Women in Innovation & Creativity’.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh seramai 60 orang peserta termasuk ketua-ketua dan usahawan wanita. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan, Koperasi dan Perindustrian) di Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Hari Harta Intelek Sedunia merupakan acara global yang diraikan setiap 26 April oleh Organisasi Harta Intelek Sedunia (WIPO) bagi memperingati kepentingan harta intelek di dalam kehidupan seharian kita. Negara-negara anggota WIPO termasuk Brunei Darussalam merayakan Hari Harta Intelek Sedunia dengan aktiviti-aktiviti di seluruh dunia untuk menunjukkan bagaimana harta intelek berfungsi dan untuk memacu inovasi teknologi.
Dalam menyokong tema Hari Harta Intelek Sedunia tahun ini iaitu ‘Powering Change: Women in Innovation & Creativity’, perbincangan panel diadakan dengan tujuan untuk merangsang perbualan interaktif sambil mengiktiraf sumbangan wanita tempatan melalui usaha inovatif dan kreatif mereka.

Ahli-ahli panel lain yang dijemput bagi perbincangan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; dan Timbalan Pendaftar dan Ketua BruIPO, Dayang Shahrinah binti Yusof Khan serta agensi lainnya.
Perbincangan panel tersebut diikuti dengan pameran produk dan perkhidmatan yang berdaftar sebagai tanda dagangan (trademark) atau paten yang diberikan dan berjaya dikomersialkan.
Lapan usahawan wanita telah mempamerkan perniagaan mereka yang kreatif, antaranya Bajoo, Currypuff Factory, Enya Bijoux, Little Bosses IQdemy, NHS Creations, Shine Cycle, Tarbiyyah Global dan Udra.
Pameran Harta Intelek itu bertujuan untuk menggerakkan kreativiti dalam kalangan wanita sambil mempamerkan hubungan intrinsik antara proses kreatif dan keuntungan menerusi harta intelek.
Pada sesi petang, Sambutan Hari Harta Intelek Sedunia diteruskan dengan ceramah mengenai penguatkuasaan Hak Harta Intelek (IPR), yang dimudahcarakan oleh penceramah undangan iaitu Peguam Undang-Undang Kanan International Trademark Association (INTA), Louis Chan dan Timbalan Pegawai Kanan Pejabat Peguam Negara, Dayang Nur al-Ain binti Dr. Haji Abdullah.
Lebih 50 orang peserta dari jabatan-jabatan kerajaan dan agensi penguatkuasaan, perniagaan tempatan, industri, institusi-institusi pengajian tinggi dan orang ramai hadir mendengarkan ceramah berkenaan.
Bagi maklumat lebih lanjut mengenai pendaftaran harta intelek dan perkhidmatan BruIPO yang lain, orang ramai boleh melawat meja bantu di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC) Darussalam Enterprise (DARe), Tingkat 1, Bangunan D&T, Anggerek Desa.
BruIPO juga boleh dihubungi di talian 2380965/6 atau e-mel enquiries@bruipo.gov.bn manakala itu, maklumat seperti borang dan risalah boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.bruipo.gov.bn.