Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru penduduk negara ini untuk sama-sama berazam menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati mengikut calak keluarga Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (SAW).
“Dengan azam itu, Allah SWT akan melimpahkan rahmatNya kepada semua keluarga, daripada kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam,” titah Baginda dalam perutusan sempena memperingati Maulidur Rasul SAW.
Terdahulu Baginda menekankan bahawa sudah menjadi tradisi bulan Rabiulawal dimeriahkan dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi Sayidina Muhammad SAW di dalam majlis-majlis keagamaan seperti di masjid-masjid, surau dan balai ibadat.
Semua itu tidak lain adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Baginda SAW, namun ungkapan cinta sahaja tidak cukup tanpa diiringi dengan perbuatan mentaati
suruhan dan meninggalkan larangan.
Baginda menjelaskan, apabila kita mengikut perintah rasul, tandanya kita mengasihi Baginda, walaupun Rasulullah SAW sudah tiada, namun Baginda meninggalkan pesanan-pesanan untuk dihayati dan ditaati.

“Jika semua ini dilakukan, pasti akan mengundang keberkatan dan bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk keluarga, masyarakat dan negara,” titah Baginda lagi.
Bercakap mengenai keluarga, bermakna kita merujuk kepada satu kelompok penting dalam masyarakat.
Sesungguhnya keluarga bahagia menjadi asas dan matlamat kepada pembangunan negara.
Manakala keluarga bahagia itulah jaminan untuk mendapatkan warisan insan yang berkualiti lagi beriman dan kerana itu, memastikan setiap institusi keluarga berkeadaan sempurna lagi bahagia menjadi tanggungjawab semua.
“Walaupun ramai yang berpuas hati menganggap keluarga masing-masing adalah baik-baik sahaja, kita juga masih patut bimbang kerana masih banyak berlaku permasalahan rumah tangga dalam masyarakat di negara ini,” tekan Baginda.
Baginda dalam titah perutusan itu turut mengongsi statistik jumlah aduan rumah tangga secara keseluruhan yang dilaporkan ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi tiga tahun kebelakangan antara 2020 hingga 2022 berjumlah 1,952 kes.
“Manakala jumlah aduan yang diterima antara bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini sahaja berjumlah 384 kes, dan jumlah kes aduan yang semakin meningkat itu tidak boleh dipandang ringan, melainkan memerlukan usaha mengatasinya,” tegas Baginda.
Baginda turut mengambil maklum, pihak KHEU telah melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi menangani perkara ini dengan mengadakan perkhidmatan Kursus Pra-Nikah bagi pasangan yang akan bernikah, seminar kekeluargaan dan kursus pasca perkahwinan bagi pasangan yang sudah bernikah yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkepentingan.
“Bukan itu sahaja, Beta juga difahamkan bermula tahun 2014, taklimat berkaitan kekeluargaan sudah dilaksanakan di institusi pengajian kerajaan dan juga swasta tetapi sehingga kini aduan isu permasalahan rumah tangga masih sahaja terus meningkat setiap tahun,” tekan Baginda.
Disebabkan itu, Baginda berharap pihak berkenaan perlu lebih proaktif mengambil inisiatif menangani isu permasalahan rumah tangga dengan menanam kesedaran awal akan akibat yang sangat buruk jika ianya tidak ditangani segera.
“Ia boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian keluarga, malah juga boleh menjejaskan kesejahteraan negara,” tegas Baginda.
Sementara itu, Baginda juga menekankan bahawa ibu bapa mesti terus memainkan peranan mengasuh dan mendidik anak-anak termasuk ke atas mereka yang akan dan sudah mendirikan rumah tangga, masih sahaja perlu ditegur atau diingati bagaimana menjaga atau memelihara keutuhan keluarga yang dibina.
Kerana nasihat atau peringatan daripada ibu bapa itu, tekan Baginda lagi, adalah sangat besar pengaruhnya di samping mempunyai keberkatan tersendiri.

