Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Serombongan pemilik kenderaan Nissan telah berlepas meninggalkan negara, kelmarin, bagi mengikuti perjalanan pengembaraan selama lima hari ke Sabah, Malaysia yang akan berakhir pada 27 Ogos ini.
Perjalanan Nissan Family Adventures yang pertama oleh Boustead Sdn Bhd tersebut telah menyaksikan lebih 15 kenderaan yang terdiri daripada Nissan Terra dan Nissan Navara memulakan perjalanan ke Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah.
Hadir dan seterusnya menyempurnakan acara pelepasan rombongan ialah Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee.
Acara tersebut dijayakan dengan sokongan penaja-penaja utama iaitu Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd, Baiduri Finance Sdn Bhd, BIBD At-Tamwil Berhad dan Takaful Brunei Am Sdn Bhd.
Ia bukan sahaja bertujuan untuk mencipta kenangan yang berkekalan untuk pelanggan mereka tetapi juga mengeratkan hubungan antara Nissan dan pelanggannya sekali gus membolehkan mereka merasai keupayaan Nissan Terra dan Nissan Navara di medan berbeza.
Nissan Navara direka untuk pengembaraan luar jalan, dengan enjin diesel turbo 2.5L yang berkuasa, suspensi multi-link dan keupayaan luar jalan yang mengagumkan.
Lebih mengagumkan ialah ciri Nissan Intelligent Mobility di samping monitor pandangan sekitar yang menawarkan pandangan kamera 360 darjah ke atas persekitaran, manakala pengesanan objek bergerak akan memberi amaran kepada pemandu apabila objek bergerak melepasi skrin.
Sistem tersebut, antara lain, membolehkan kenderaan empat roda itu menakluki sebarang bentuk muka bumi yang kasar atau cerun licin.
Sementara itu, Nissan Terra dikuasakan dengan enjin diesel turbo 2.5L, menawarkan layanan kelas pertama di mana kenderaan mesra keluarga ini menampilkan tempat duduk gaya teater dengan tempat duduk yang luas dan mewah, dan kaca akustik pengurangan hingar yang meredam bunyi luar.