KUALA LUMPUR – Bekas protege Joe Flizzow menerusi Mentor 4 iaitu Ila Damiaa pernah diminta untuk menukar syarikat rakaman kerana karier nyanyiannya dilihat bergerak perlahan.
Bagaimanapun kata Ila, 28, dia tetap meletakkan kepercayaan dengan label dinaunginya iaitu Kartel Talent Agency milik Joe kerana menganggap syarikat itu sebagai keluarganya.
“Saya faham bukan mudah untuk mengeluarkan produk ‘boleh jual’ apatah lagi bernaung bawah label indie namun itu tidak pernah memudarkan kepercayaan saya terhadap pengurusan mentor saya iaitu Joe Flizzow.
“Hubungan kami sudah seperti keluarga dan saya melihat kesungguhan mereka dalam usaha menjenamakan kembali nama saya dengan pelancaran single terbaru iaitu Cuma Kamu,” katanya.
Ila ditemui pada majlis perlancaran single Cuma Kamu.

Dalam pada itu, bekas peserta Duo Star bersama Yasin Sulaiman ini memberitahu penyertaan dirinya dalam program realiti tersebut adalah antara usaha untuk menonjolkan namanya.
“Walaupun hanya tiga minggu bersama Duo Star namun banyak pengalaman saya perolehi dan paling penting penonton masih mengingati saya,” katanya.
Ila yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada hujung tahun lalu berkata, dia bersyukur kerana suaminya memberi keizinan dan sokongan untuknya kembali merancakkan karier seni.
Walaupun terpaksa berulang-alik dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam industri seni.
Bercakap mengenai Cuma Kamu, lagu yang turut menjadi lagu tema drama Mama Tere di TV3 adalah hasil kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya bertuah kerana untuk lagu ini saya berkesempatan berkerjasama dengan orang-orang hebat di sana seperti Ari Aru Renaldi, Raisa Adriana dan Sindhu Bharata.
“Kalau Ari sering memenangi anugerah berprestij di Indonesia, Sidhu pula banyak menulis lirik lagu untuk Rossa, Ungu, Afgan, Tulus dan ramai lagi,” ujarnya.