Ilmu, amal penentu kebitaraan ummah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Orang berilmu, jika dia beramal dengan ilmunya, pasti selamat dan jika sebaliknya orang berilmu yang tidak beramal dengan ilmunya, dia tidak akan selamat, bahkan menjadi kebencian Allah.

Ini kerana, ilmu dan amal itu adalah punca selamat di mana selamat adalah lebih penting daripada unggul.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (gambar bawah) seterusnya menambah, selamat atau keselamatan (kebitaraan atau keunggulan) itu adalah benar-benar selamat dan bukan calang-calang selamat malah selamat itu akan beroleh kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara itu semasa menyampaikan ceramah perdana bertajuk ‘Ilmu dan Amal Penentu Kebitaraan Ummah’ pada Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-12, 2019 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Dalam ceramah tersebut, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ada empat kategori manusia yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa pemeriksaan iaitu imam (penguasa) yang adil, orang alim yang beramal dengan ilmunya, pemuda yang bertaubat dan perempuan yang taat kepada suaminya.

“Antara empat golongan ini, satu golongan ialah orang alim (orang berilmu) yang beramal dengan ilmunya,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) ke-2 yang turut diadakan di sam-ping konferensi berkenaan dengan tema ‘Memperkasa Pasaran Halal Borneo’, Yang Berhormat Pehin berkata, adalah elok dan mustahak untuk memperkasa pasaran halal, benar-benar halal atau mutlak halal, kerana halal itu adalah perkara suci, perkara berkat dan perkara selamat.

“Justeru, kita tidak mahu setakat halal-halalan saja, di dunia hari ini, banyak halal dan perkara halal. Ada halal promosi, ada halal komersil, ada halal iklan (halal pemanis), ada halal topeng dan sebagainya.

“Semua ini kita tidak patut terlibat, kerana bukan halal yang se-perti ini yang kita mahukan tapi yang kita mahu itu, cuma ‘satu’ halal saja, yang namanya ‘Halal Syarie’, halal yang patuh syarak’,” tegas beliau.

Tambah beliau, “Halal jenis inilah yang mahu kita perkasa, yang mahu kita pasarkan. Jadi majlis kita pada hari ini diharapkan, akan mampu untuk jadi platform kepada usaha mencari kaedah ‘Halal Syarie’ yang setepat-tepatnya.”

Beliau seterusnya menekankan, supaya tidak memandang mudah atau menganggap ringan sahaja kerja mentadbir dan mengurus perkara halal dan haram.

“Ia adalah kewajipan besar terutama bagi Daulah Islamiah, kerajaan Islam. Kerja ini sungguh sulit dan berat yang memerlukan perhatian dan ketegasan luar biasa dari siapa yang berkenaan,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, orang-orang Islam tidak boleh ambil ringan perkara ini dan doa adalah khazanah Allah yang mana kita orang-orang Islam memerlukan doa.

“Allah menggalakkan kita berdoa, tapi dalam pada itu awas, Allah hanya akan terima doa jika makanan yang dimakan halal, manakala kalau makanan itu haram atau syubhah, pintu langit tertutup dan menolak doa kita,” tegas beliau.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, makanan halal itu penyelamat daripada api neraka dan pemangkin doa mustajab, dari peristiwa al-Imam asy-Syafi’e, makanan halal juga adalah ubat atau penawar.

“Sayugia jangan ada siapa pun yang mempersendakan pendapat al-Imam asy Syafi’e ini. Benar ia bukan Al-Quran atau hadis, ia cuma pendapat semata-mata tapi pendapat seperti ini yang datangnya daripada orang beriman lebih-lebih lagi tara al-Imam asy-Syafi’e, maka ia boleh saja berstatus ‘firasat’, yang diketahui dengan gerak hati orang beriman,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan, era sekarang adalah era penyakit-penyakit kronik berleluasa di mana penyakit diabetes, jantung koronari, darah tinggi, buah pinggang, barah dan lain-lain lagi meningkat.

“Semua ini orang belum mengkajinya, adakah penyakit itu atau apa jua penyakit turut berkemungkinan berpunca daripada makanan yang tidak halal.

“Jika ini benar, maka al-Imam asy-Syafie rahimahullah adalah orang yang telah mendahului zaman apabila beliau berkata, ‘Saya bukan makan untuk kenyang, wahai Ahmad, tetapi saya makan untuk berubat, kerana makanan mu dari yang halal’,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat tiga kepentingan makanan halal iaitu untuk menyelamatkan si pemakan daripada api neraka, untuk doa mustajab dan untuk memperolehi kesihatan tubuh badan.