Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-12 dan Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) ke-2 yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin, berakhir dengan Majlis Penangguhan Konferensi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Profesor Madya Dr Mohammad Isa bin Mohamadin dalam ucapannya selaku pengerusi bersama Jawatankuasa KAIB ke-12, mengingatkan agar segala ilmu yang telah dikongsikan dan dipelajari sepanjang KAIB ke-12 difahami dan diamalkan agar menjadi panduan kepada pergerakan ummah di rantau Borneo ini.
Konferensi itu anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan UiTM Sarawak.
Majlis diteruskan dengan forum khas bertajuk ‘Ilmu dan Amal Penentu Kebitaraan Ummah’ yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Profesor Madya Pusat Pengkajian Ahli Sunnah Wal Jamaah, KUPU SB, Profesor Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo; dan Rektor UiTM, Sabah, Datuk Profesor Madya Dr Haji Abdul Kadir bin Haji Rosline @ Ruslim.
Majlis kemudian mendengarkan pembentangan resolusi konferensi oleh Ketua Bersama Jawatankuasa dan Pelapor KAIB ke-12, Dr Haji Matussein bin Haji Jumat.
Antara resolusi yang dicadangkan ialah memperkasakan pasaran halal berpaksikan kaedah hukum halal syarie dari segi ilmu dan amali secara serius dan konsisten untuk keselamatan dan kesejahteraan ummah serta mempergiat kurikulum dan kokurikulum secara integrasi ilmu dan amal dalam institusi-institusi pendidikan secara menyeluruh dari aspek kerohanian, fizikal, akal pemikiran, akhlak, kemasyarakatan dan profesionalisme ke arah pembitaraan ummah.
Konferensi juga menyarankan supaya institusi wakaf dan zakat diperkasa melalui penyelidikan dan pembangunan bersepadu antara pihak kerajaan, swasta, ahli agama dan akademik di Borneo di samping mengukuhkan pendidikan Islam melalui kemajuan teknologi digital secara kolaborasi antara institusi pengajian tinggi di Borneo dalam menghadapi era Revolusi Industri (IR) 4.0 dan IR5.0.
Aktiviti memakmurkan masjid sebagai wadah pendidikan Islam juga dicadangkan dalam mempertingkat dan mempertahankan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sebagai prinsip utama dalam kehidupan ummah dengan penumpuan aspek ilmu, amal dan dakwah syiar Islam dengan hikmah.
Di samping itu, memantapkan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran dan pendidikan Islam dalam semua peringkat institusi-institusi pendidikan serta memperkasakan industri halal melalui integrasi sepadu antara pihak kerajaan dan swasta ke arah pembangunan ekonomi umat Islam yang menepati Maqasid Syariah dan melestarikan asas ketamadunan Islam, Jawi dan kitab turath melalui kajian manuskrip di kepulauan Borneo dan membudayakan pembudayaan dan penyebarannya untuk kebitaraan ummah.
Kertas resolusi diserahkan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar kepada timbalan menteri hal ehwal ugama.
Majlis diteruskan dengan penyerahan surat tugas penganjuran KAIB oleh Dr Haji Adanan kepada Profesor Madya Dr Mohammad Isa selaku tuan rumah bagi KAIB ke-13 pada tahun depan dengan disaksikan oleh Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom.
Timbalan menteri hal ehwal ugama seterusnya menyampaikan ucapan perasmian penangguhan KAIB ke-12.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pegawai-pegawai utama KUPU SB, pembentang dan peserta KAIB 12, para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.