Oleh Yusrin Junaidi –
Pada menjunjung titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkaitan dengan kemahiran dan kualiti dakwah, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan ‘Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin’ dengan tema ‘Memperkasa Kualiti Daie’.
Seminar dua hari itu menyasarkan kalangan daie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), pegawai-pegawai pelajaran agama di Kementerian Pendidikan dan pegawai-pegawai PDI, KHEU.
Jika dihayati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang penuh makna semasa keberangkatan Baginda tidak berjadual ke PDI, KHEU pada 21 Syaaban 1443H bersamaan 24hb Mac 2022M, Baginda bertitah, “Konsep meramaikan kakitangan dan pegawai memang menjadi kecenderungan biasa tetapi hanya dengan meramaikan tenaga sahaja belumlah tentu menjamin yang tenaga-tenaga tersebut tidak atau kurang berkualiti, ertinya di sini yang penting itu ialah kualiti jua.
“Bagaimana cara mengelinga dan memperkasa, mungkin sahaja misalnya dengan mewujudkan Skim Latihan Daie yang membolehkan pegawai-pegawai yang berkenaan diberikan latihan-latihan bagaimana melakukan dakwah yang berkesan.”
Objektif seminar
Objektif seminar itu diadakan adalah bagi mendukung dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang menekankan supaya ilmu usul dakwah didalami dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasa gerak kerja dakwah yang berkesan, meningkatkan kemahiran daie dengan metodologi dakwah yang pelbagai dan penggunaan media teknologi terkini bagi menjamin kualiti daie sekali gus mengukuhkan hubungan persefahaman dan percambahan fikiran dalam kalangan ilmuan Usuluddin, KHEU dan Kementerian Pendidikan serta rakan strategik KUPU SB.



Seminar itu juga diharapkan dapat memperkasa para daie bertauliah MUIB, pegawai-pegawai pelajaran agama di Kementerian Pendidikan dan pegawai-pegawai PDI yang berkaliber melalui integrasi ilmu teori dan praktik dalam memantapkan strategi dakwah yang berkualiti, releven dengan situasi perubahan semasa dan cakna masyarakat.
Bukan setakat itu sahaja, bahkan pelbagai ilmu turut dijelaskan yang meliputi metodologi dakwah, komponen-komponen utama sasaran dakwah, media teknologi dakwah. Dengan demikian, seminar tersebut diharap berupaya meningkatkan dan memperkasa kemahiran dan kualiti para daie khasnya daie tempatan.
Oleh yang demikian, perlunya melahirkan para pendakwah yang mahir menguasai pelbagai pendekatan dakwah. Dari sudut organisasi, kemahiran mengurus, kemahiran memimpin dan mengendali aktiviti juga termasuk kemahiran yang diperlukan.
Kertas kerja seminar
Dalam menyoroti kertas kerja perdana oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, istilah ‘memperkasa’ jelas Yang Berhormat Pehin pada akhir-akhir ini sangat popular digunakan, terutama bagi aspek ekonomi.
“Memang istilah itu bertenaga. Maka dalam bidang dakwah juga ia patut dipa-kai jika kita mahu dakwah itu bertenaga,” ujar Yang Berhormat Pehin.
Bagaimanapun, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa dakwah lebih afdal untuk bertenaga, selaras dengan firman Allah di dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 125, yang tafsirnya: “Serulah (berdakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang diseru itu) dengan cara yang lebih baik.”
Menariknya, menurut Yang Berhormat Pehin, daripada ayat tersebut terdapat tiga faktor yang mesti diambil kira, iaitu: (1) Allah menyuruh berdakwah, (2) Bagaimana dakwah itu dilakukan, iaitu dengan cara bijaksana dan nasihat yang baik, dan (3) Malah disuruh bersedia untuk berbahas dengan siapa saja yang diseru atau didakwah itu, dengan cara yang lebih baik.
Di sinilah, tegasnya, “persoalan dakwah itu dan bagaimana cara memperkasanya iaitu melalui hikmah bijaksana dan nasihat yang baik, tetapi jika hikmah masih kurang dan nasihat masih lemah tidak berkesan, maka itu ertinya, dakwah belum lagi perkasa. “
Lantaran itu, dakwah bukan sahaja dikehendaki supaya perkasa, malah sesudah ia perkasa, para daie, diperingatkan pula untuk sedia berbahas dengan para sasaran yang diseru, dengan cara yang lebih baik lagi.
Apa yang pasti, dakwah adalah ciri utama untuk menyerlahkan kebaikan dalam kalangan manusia dan pengenalan tentang Islam sebagai agama yang benar hanya akan dapat disampaikan melalui dakwah sahaja. Oleh yang demikian, dakwah tidak boleh berhenti, selaras dengan perintah Allah sebagaimana yang disebutkan dalam Surah An-Nahl sebelumnya.
Natijahnya, dakwah bukan sahaja mesti kekal, malah perlu juga diperkasa supaya hasilnya menepati sasaran.
Pendekatan psikologi dalam dakwah
Menyentuh mengenai salah satu perkongsian pembentangan kertas kerja pertama yang disampaikan oleh Profesor Dato Dr Fariza Mohd Sham, pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau membentangkan tajuk ‘Pendekatan Psikologi Dakwah dalam Pembinaan Kekuatan Jiwa Masyarakat Sejahtera’ yang menurutnya isu kesihatan mental adalah merupakan perkara yang diambil berat pada peringkat Malaysia dan global.
Peningkatan masalah kesihatan kemurungan dan keresahan di peringkat global meningkat pada tahun 2020.
Tambahnya, ianya juga menular kepada golongan kanak-kanak dan bukan hanya di kalangan orang dewasa tanpa mengira lelaki atau wanita. Maka hal ini menurutnya perlu ditangani dengan psikologi dakwah iaitu pendekatan yang mengabungkan dua disiplin iaitu psikologi dan dakwah.
Pendekatan tersebut juga sememangnya dapat menguatkan jiwa masyarakat iaitu melalui Tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) yang juga terbahagi kepada dua iaitu Mujahadah al-nafs dan Riyadah al-nafs.
Secara kesimpulannya, dengan pemulihan kekuatan psikologi, jiwa akan bebas dari penyakit kejiwaan dan dipenuhi dengan ketakwaan dan keimanan maka segala masalah dapat dihadapi dengan tabah dan individu itu mempunyai kekuatan untuk menanganinya.
Pendakwah
Pendakwah merupakan golongan yang berperanan penting menyampaikan Islam kepada masyarakat. Hal ini kerana mereka antara insan yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah dalam memakmurkan agama di muka bumi ini.
Aspek persiapan dianggap elemen penting dalam menentukan keberkesanan proses penyampaian dakwah. Pengetahuan dan kemahiran adalah dua elemen berkaitan.
Cabaran seseorang yang ingin menjadi pendakwah ialah ilmu dan kemahiran, semangat tanpa ilmu serta kemahiran boleh membantutkan niat untuk menjadi pendakwah.
Oleh kerana tanggungjawab dakwah ini diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata‘ala kepada setiap umat Islam yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya, sudah pasti ia mempunyai cara dan pendekatan tersendiri sesuai dengan sifat semulajadi manusia.
Tuntasnya, ilmu dan kemahiran yang mantap merupakan dua elemen yang sangat penting dalam memperkasa gerak kerja dakwah dengan berkesan dan berkualiti.

