Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ilmu lubuk ikan tambah pendapatan musim tengkujuh

    BACHOK – Kebiasaannya ikan yang banyak dijual  di pasar  merupakan ikan  laut  yang ditangkap oleh para  nelayan, namun ada juga ‘ikan darat’  yang ditangkap oleh orang kampung dengan cara memukat terutamanya di Kelantan.

    Antara ikan darat yang ada di pasar dan mencapai harga yang baik  ialah ikan keli, puyu, lampam, sepat dan haruan yang ditangkap menggunakan pukat yang dipasang di kawasan tertentu yang menjadi ‘lubuk ikan’.

    Bagi Rasli Sulaiman, 60, dari Kampung Chap, Bekelam Jelawat di sini ‘ilmu lubuk ikan’ yang ada pada dirinya memudahkan  kerja-kerja  memukat dan menangkap ikan darat yang banyak jumlahnya ketika musim tengkujuh.

    “Pada musim banjir ikan memang banyak dan memberi pulangan hasil yang berlipat ganda kerana pada waktu hujan ikan mudah masuk pukat tanpa mengira masa baik tengahari, petang mahupun malam.

    “Musim kemarau pula biasanya saya peroleh ikan lebih besar walau hanya sekali tahan pukat dan pernah bawa naik ikan sebanyak 30 kilogram,” katanya kepada Bernama. Rasli  berkata ikan puyu dan keli mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan pelanggan tetap, diikuti ikan lampam, sepat serta haruan.

    “Saya diberi anugerah mengenali lubuk ikan berpandukan pesan orang tua-tua  yang biasanya ikan banyak di perdu pokok mengkuang di tepi sungai.

    “Di situlah ikan suka duduk dan membiak, jadi saya kenal tempat tumpuan tersebut… Alhamdulillah rezeki sentiasa ada untuk memperoleh pendapatan menampung keperluan keluarga,” katanya.

    Sementara itu, isterinya Noriah Hassan, 44 juga dikenali sebagai Fatimah berkata, beliau gembira membantu suami yang setiap hari membawa pulang ikan sungai atau bendang.

    “Ikan ini dikumpulkan, sama ada disiang dan dipotong, ada yang diletak garam kunyit, dibungkus serta dijual pada setiap pagi Jumaat di Pasar Minggu Kedai Lalat dengan harga RM5 setiap bungkus bagi memudahkan pelanggan menyediakan masakan ikan darat. Bagi mengelak ikan darat berbau hanyir, saya rendam ikan segar yang baru ditangkap menggunakan gandum, asam jawa dan cuka,” katanya. – Bernama

    Bagi Rasli Sulaiman dari Kampung Chap, Bekelam Jelawat di sini ‘ilmu lubuk ikan’ yang ada pada dirinya memudahkan  kerja-kerja  memukat dan menangkap ikan darat yang banyak jumlahnya ketika musim tengkujuh. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda