Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ilmu teras kejayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Menuntut ilmu adalah kunci kejayaan untuk mencapai keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat dan ia sangat digalakkan kerana di dalamnya terdapat cahaya dan hidayah yang menerangi kehidupan manusia daripada kegelapan dan kejahilan.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai perkara itu dan menganjurkan ibu bapa supaya menerapkan ilmu agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.

    “Imam Al-Syafie dalam wasiatnya berkata, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan di akhirat dan ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T,” kata khatib lagi.

    Manakala ibu bapa pula bertanggungjawab untuk menjaga amanah Allah S.W.T dengan sebaik-baiknya dengan memberikan anak-anak mereka pendidikan sempurna dan seimbang iaitu duniawi dan ukhrawi bagi membantu jati diri yang mantap dan membentuk Muslimin sejati.

    Menurut khatib, tanpa ilmu pengetahuan, manusia akan hidup dalam kegelapan dan tidak akan berkembang maju dan tanpanya juga manusia tidak akan dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan, kerana dengan ilmu sahaja, seseorang akan terselamat daripada tipu daya syaitan.

    “Kita diwajibkan menuntut ilmu kerana ganjaran dan kelebihannya adalah sangat besar antaranya ialah dipermudahkan jalan menuju ke syurga.”

    Khatib dalam khutbahnya juga berkata, dalam syarah hadis 40 karangan Imam Nawawi, barang siapa beramal dengan apa yang diketahuinya, Allah S.W.T akan mewarisi untuknya ilmu yang tidak diketahuinya.

    “Orang yang berilmu pengetahuan dipandang tinggi oleh masyarakat dan orang yang memiliki ilmu juga sangat beruntung kerana ilmu itu adalah jiwa dan harta yang tidak akan hilang dan habis,” tambahnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan bahawa kejayaan dan kemajuan negara pada masa hadapan sangat bergantung kepada keupayaan pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi.

    Jelasnya, penduduk di negara ini sememangnya merasa bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mementingkan hal ehwal pendidikan di negara ini, sebagaimana strategi pendidikan Wawasan Negara 2035 melalui Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan sebagai salah satu program untuk mengukur kompentasi pelajar dalam pengetahuan dan kemahiran berfikir.

    “Dengan penanda aras antarabangsa seperti PISA ini, ia akan dapat membantu mengenal pasti peluang mencapai kejayaan pendidikan dan sebagai pemacu ke arah usaha pembaharuan dan pembangunan pendidikan,” katanya lagi.

    Bukan setakat itu, penyertaan negara dalam PISA 2018 ini adalah selaras dengan hasrat Wawasan Negara 2035 iaitu melahirkan warga negara yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi dan akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber manusia yang berilmu, berkemahiran dan bertamadun tinggi.

    Khatib seterusnya menambah bahawa ilmu pengetahuan itu sangat berharga dan tidak akan diperoleh jika tidak dicari dan dipelajari. Oleh itu, semua lapisan masyarakat di negara ini digesa agar sentiasa berusaha untuk mencari dan menuntut ilmu sebanyak mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda