Ilo: mata pencarian pekerja tak formal ‘terancam’

GENEVA, 29 APRIL – Tiga perempat pekerja dalam ekonomi tidak formal – kira-kira 1.6 bilion orang – menghadapi risiko mata pencarian mereka terjejas akibat pandemik koronavirus, kata Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO) hari ini.

ILO berkata kemerosotan mendadak dalam waktu bekerja pada suku kedua 2020, disebabkan krisis COVID-19, bermakna pekerja berkenaan menghadapi ‘risiko di mana mata pencarian mereka akan dimusnahkan.’

Dalam laporan ketiganya mengenai krisis koronavirus dan dunia kerja, agensi PBB mengingatkan tentang kesan ke atas golongan paling mudah terancam dalam pasaran pekerja, yang sering tergolong dalam sektor yang paling teruk terjejas.

Seramai 1.6 bilion orang dijangka mengalami “kerosakan besar dalam keupayaan mereka untuk mencari nafkah,” kata ketua pengarah ILO Guy Ryder.

“Kami semua perlu memikirkan penderitaan manusia, keperluan manusia di sebalik angka luar biasa tersebut.”

ILO berkata krisis tersebut mengakibatkan pengurangan besar dalam aktiviti ekonomi dan masa kerja.

Ia meramalkan waktu kerja global merosot sebanyak 4.5 peratus pada suku pertama 2020, berbanding dengan tiga bulan terakhir 2019.

ILO berkata sektor yang paling teruk terjejas adalah penginapan dan perkhidmatan makanan, pengeluaran, perniagaan borong dan runcit serta hartanah dan aktiviti perniagaan.

“Untuk jutaan pekerja, tiada pendapatan bermakna tiada makanan, tiada keselamatan dan tiada masa depan.

“Jika kami tidak membantu mereka sekarang, mereka akan hancur.” – AFP