KUALA LUMPUR, 22 Feb – Pasukan bola sepak Liga Perdana, Manchester United buat julung kalinya akan membawakan #ILOVEUNITED ke Malaysia bulan depan.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, ia merupakan acara khas yang dianjurkan oleh kelab berkenaan, yang mana penyokong mereka dapat berkumpul dan menyaksikan siaran langsung secara beramai-ramai.
“#ILOVEUNITED akan berlangsung pada Sabtu, 10 Mac bertempat di Berjaya Times Square, yang mana Manchester United akan bertemu seteru kelab, Liverpool dalam perlawanan yang dinantikan oleh para peminat.
“Acara eksklusif seperti ini telah dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh dunia dan United teruja untuk membawakannya buat pertama kali ke Malaysia dan acara ini adalah terbuka dan percuma untuk penyokong,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, duta Manchester United, Dwight Yorke dan Dennis Irwin serta legenda kelab berkenaan, David May, akan hadir untuk bertemu para peminat, selain berpeluang untuk mendalami budaya tempatanm, di samping memberi pandangan dan analisis perlawanan.
Penonton akan turut disajikan dengan acara hiburan dan juga peraduan, yang mana mereka berpeluang memenangi kunjungan VIP ke Old Trafford.
Di samping itu, melalui acara berkenaan peminat di seluruh dunia dapat berhubung secara interaktif untuk memuat naik gambar dan video mereka bersorak untuk pasukan mereka. – Bernama