Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    imagine lancar ‘Smart Home’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Dalam usaha memberikan perkhidmatan dan produk berteknologi tinggi yang selesa bersesuaian dengan permintaan pasaran moden, imagine Sdn Bhd telah melancarkan peranti Smart Home di cawangannya di Citis Square, hari ini.

    Pelancaran peranti Smart Home itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju dalam ucapannya menjelaskan syarikat itu semakin hampir mencapai matlamat di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2035 untuk mempromosikan smart nation sejajar wawasan 2035.

    Menurutnya lagi, sebelum pelancaran produk ini, pasukan imagine telah mengadakan tinjauan, penyelidikan dan analisis untuk memahami keperluan pasaran Brunei.

    “Usaha yang dilaburkan untuk merancang barisan produk dan perkhidmatan imagine adalah bukti tekad syarikat dalam mendengarkan keperluan pelanggannya dan harapan masyarakat,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika melancarkan peranti Smart Home sambil disaksikan oleh Dayang Suzannawati.

    Dengan bantuan dan sokongan daripada pelanggan imagine dan orang ramai, imagine telah bekerjasama dengan Smart Space untuk membawa teknologi yang tersedia untuk kediaman yang berpotensi menjadi keperluan bagi setiap rumah.

    Dengan adanya produk baharu yang diperkenalkan ini, ia diharap dapat menjadikan aktiviti harian lebih mudah sekali gus menimbulkan kesedaran mengenai teknologi yang belum kita sedari dan perlukan.

    Beliau menambah, “Pasukan kami yang berdedikasi ini akan terus meneroka untuk mencapai yang lebih besar lagi di mana kami juga percaya warga Brunei berhak mendapat yang terbaik dalam produk kami serta perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya.

    Selain imagine, Smart Space juga terlibat dengan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) untuk memberikan pengalaman langsung kepada graduan untuk memperoleh latihan serta pengetahuan ke arah meningkatkan peluang pekerjaan bagi mere-ka yang terlibat dalam pemasangan.

    Ini juga merupakan sebahagian daripada kolaborasi imagine-Smart Space untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan di kalangan warga Brunei dalam bidang ICT.

    Produk Smart Home imagine ini akan mula berada di pasaran negara pada minggu ini di cawangan imagine Berakas, Gadong dan Seria.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif imagine selaras dengan misinya untuk memberikan nilai tambah, syarikat berkenaan telah menandatangani kontrak dengan Strateq Global, Malaysia untuk menyediakan pelbagai ICT bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk pelbagai industri di seluruh negara.

    Di samping itu, imagine juga mengadakan siri webinar yang berlangsung selama tiga hari untuk mereka dalam sektor swasta dan awam untuk lebih bersosialisasi yang dapat membantu meningkatkan kecekapan, meningkatkan keberkesanan kos dan mempromosikan kelestarian dengan menggunakan teknologi imagine yang disediakan.

    Beliau seterusnya menambah, dalam usaha berterusan untuk memberi kepelbagaian produk dan harga kepada masyarakat Brunei, imagine baru-baru ini telah memperkenalkan barisan jalur lebar dengan iPhone 12 dengan pembayaran pendahuluan rendah dan plan jalur lebar dan pasca-plaid dengan harga berpatutan, kini boleh didapati di cawangan imagine Berakas dan Seria.

    Turut hadir menyaksikan pelancaran peranti itu ialah ahli lembaga imagine, pengurus kanan imagine, kakitangan imagine dan orang ramai.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda