Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    imagine-OMG meterai perjanjian hos Football Fiesta

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – imagine (B) Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan Oceanus Media Group (OMG) yang diwakili oleh AP Media Asia (Singapura) untuk menghoskan imagine Football Fiesta di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam kenyataan imagine, hari ini, kerjasama itu bermatlamat untuk memupuk semangat setia kawan dan mempromosikan kesukanan dalam masyarakat, pada masa yang sama, mengetengahkan minat dan bakat bola sepak di negara ini.

    Acara yang dijadualkan berlangsung pada 30 April di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bakal menyaksikan perlawanan menarik dengan penyertaan legenda Liga Perdana Inggeris beraksi seperti Luis Garcia, Partik Berger, Emile Heskey, Vladmir Smicer dan ramai lagi pemain terkenal.

    Menerusi kerjasama itu juga, acara itu akan menetapkan penanda aras bagi kolaborasi masa hadapan di rantau ini.

    Pengarah Bahagian Ekosistem Perniagaan dan Industri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On dalam kapasitinya sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd mengongsi bahawa kerjasama antara imagine dan OMG menjana pelbagai kemungkinan.

    imagine menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan OMG yang diwakili oleh AP Media Asia (Singapura) untuk menghoskan imagine Football Fiesta di negara ini. – GAMBAR SERAHAN IMAGINE

    Dengan penganjuran imagine Football Fiesta, ia menyediakan pentas bagi gabungan menarik sukan dan teknologi, menghidupkan semangat serta menyatupadukan peminat di seluruh negara dalam sama-sama meraikan minat dan imaginasi mereka.

    Kerjasama itu, tambahnya, juga menyediakan platform bagi imagine untuk bekerjasama dengan OMG dan rakan-rakan kongsi dalam ruang pemetaan 3D masa sebenar, pemasaran eksperimental dan multimedia yang mengasyikkan.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OMG, Nick GC Tan menyatakan pihaknya amat teruja untuk bekerjasama dengan imagine dalam usaha yang diterokai berkenaan.

    Beliau yakin mereka akan dapat mentakrifkan semula sempadan hiburan, menawarkan warga Brunei dengan gabungan sukan dan media yang tidak dapat dilupakan.

    imagine Football Fiesta, tambahnya, akan mencatatkan mercu tanda dalam pengalaman acara dan OMG amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian dalam perjalanan ke arah itu.

    Kerjasama itu menandakan komitmen kepada menyokong pembangunan sukan akar umbi dan menjana pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi komuniti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda