Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    imagine raikan graduan Pusat Tuisyen Komuniti

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Bagi meraikan pencapaian prestasi golongan pelajar yang memerlukan dalam Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) tahun lalu, imagine Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan majlis penyampaian sijil kepada 24 orang pelajar yang menyertai Pusat Tuisyen Komuniti imagine x UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Amirol Hafidzin bin Haji
    Muhammad.

    Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada golongan pendidik dan ketua-ketua kampung Zon 5 Daerah Brunei dan Muara serta imam Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis yang terlibat menjayakan program berkenaan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; dan Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju di samping para kakitangan dari UBD dan imagine.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan imagine, hari ini, para pelajar yang diraikan turut menerima baucar membeli-belah dan hamper makanan di samping itu, imagine turut memberi wang ganjaran kepada pelajar-pelajar yang memperolehi pencapaian cemerlang.

    Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan daripada imagine kepada dua pelajar yang baharu kehilangan ibu bapa, dan telah disempurnakan oleh Dayang Suzannawati.

    Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Perkongsian, imagine Sdn Bhd, Haji Radziman bin Haji Abdul Rahman pula telah menyerahkan wakaf kepada Awang Abdul Najib Syazwan selaku wakil masjid yang menjadi pusat tuisyen sebelumnya.

    Kenyataan menjelaskan, projek komuniti itu telah dilancarkan pada Julai tahun lalu tetapi terpaksa beralih perlaksanaannya secara dalam talian berikutan bermulanya gelombang kedua COVID-19 yang melanda tanah air. Sebagai usaha untuk memudahkan lagi pembelajaran golongan pelajar yang terlibat, pihak syarikat turut menyediakan pelan data mudah alih sepanjang kelas-kelas berlangsung.

    Haji Amirol Hafidzin, Dr Hazri, Dayang Suzannawati, ketua-ketua kampung, kakitangan kanan imagine serta warga pengurusan kanan UBD bergam-bar ramai bersama pelajar-pelajar Pusat Tuisyen Komuniti imagine x UBD 2021 yang diraikan. – Gambar serahan imagine
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda