imagine sokong projek Sungkai Ramadan MKM

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Syarikat telekomunikasi imagine, kelmarin, telah menyumbangkan $5,000 kepada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bagi Projek Sungkai Ramadan untuk mereka yang memerlukan.

Sumbangan telah disampaikan oleh Naib Presiden Pemasaran imagine, Dona Johan kepada Presiden MKM, Awang Mohd Yusof bin Halim pada majlis yang berlangsung di Pejabat MKM.
MKM akan mengagihkan hidangan sungkai kepada 720 orang yang memerlukan seti-ap hari bagi 15 hari pertama Ramadan.

Di samping makanan sungkai berkenaan, 170 buah keluarga juga akan menerima 10kg beras dan 15 penutup mulut dan hidung setiap keluarga.

MKM telah mengagihkan makanan sungkai kepada mereka yang memerlukan di negara ini selama 10 tahun dan tahun lalu, ia diagihkan kepada 550 orang yang memerlukan selama 14 hari.

Menurut MKM, mereka biasanya mengadakan majlis iftar bersama mereka yang memerlukan pada penghujung Ramadan, bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan pada tahun ini kerana perhimpunan ramai kini tidak dibenarkan disebabkan pandemik.

Dengan penjimatan daripada pembatalan berkenaan, MKM akan mengagihkan makanan kepada 720 orang berbanding 550 selama 15 hari berbanding 14 hari.

Pengagihan makanan sungkai berkenaan akan dijalankan oleh sukarelawan di bawah penyeliaan Bahagian Belia MKM yang diketuai oleh Abang Haji Masrur bin Abang Haji Zainuddin yang menyatakan bahawa pengagihan akan terpencar.

Pemeriksaan suhu badan dan penjarakan fizikal akan diamalkan sepanjang masa, tambah beliau.

Dona Johan menyampaikan sumbangan daripada imagine kepada Awang Mohd Yusof. – Gambar serahan MKM