Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    imagine-UTB meterai MoU program latihan industri pelajar

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – imagine Sdn Bhd telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam sebuah majlis penandatanganan yang diadakan di Bilik Padian, Hotel Brunei, semalam.

    MoU ini merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan peluang latihan industri serta pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar bagi para graduan UTB.

    MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Mohd Saiful bin Haji Omar dan Pengarah Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan (IBE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On, selaku Ahli Lembaga dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Allen On dalam ucapannya berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang imagine dalam membangunkan modal insan negara serta selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Negara Brunei Darussalam.”

    Dr Chin Wei Keh (tengah) menyaksikan Allen On (kiri) dan Dr Mohd Saiful (kanan) menandatangani memorandum persefahaman tersebut. – GAMBAR SERAHAN UTB

    Beliau menambah, “Ia menyokong visi negara dalam melahirkan individu yang berkemahiran, adaptif dan inovatif untuk memacu ekonomi yang dinamik dan mampan seiring Wawasan Brunei 2035.”

    Sementara itu, Dr Mohd Saiful dalam ucapannya menjelaskan, “Salah satu komponen utama MoU ini ialah Program Perantisan Industri yang memberi peluang kepada pelajar UTB untuk memperoleh pengalaman kerja secara praktikal di imagine.”

    Beliau turut menambah, “Melalui pendedahan ini, para pelajar dapat membangunkan kemahiran yang relevan dengan industri serta menyumbangkan idea dan perspektif baharu kepada landskap digital yang sentiasa berubah.”

    Menurutnya lagi, program itu direka bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan graduan UTB dengan menyokong pembangunan kemahiran praktikal, memperluaskan rangkaian profesional, serta membuka laluan kepada pembangunan kerjaya.

    “Ia turut menawarkan peluang untuk mendapatkan Tawaran Pekerjaan Bersyarat selepas berjaya menamatkan program, sekali gus memudahkan peralihan ke alam pekerjaan.”

    Melalui kerjasama ini, pelajar UTB akan berpeluang menjalani program penempatan latihan industri di pelbagai jabatan dalam imagine Sdn Bhd, termasuk infrastruktur ICT, inovasi produk digital, strategi korporat, pemasaran dan pengalaman pelanggan.

    Program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada cabaran dunia sebenar, mempertingkat pembangunan profesional dan memupuk kesiagaan industri.

    Turut hadir semasa majlis penandatanganan tersebut ialah para pegawai Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), rakan-rakan industri, serta wakil daripada sektor awam dan swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda