Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imam dipenjara tiga tahun pecah amanah

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Seorang imam masjid dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan pada Isnin lalu selepas menukar pengakuannya kepada bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan akaun bank masjid.

    Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menjatuhkan hukuman terhadap Ahmeddani bin Haji Abdul Rahman yang ketika itu adalah ketua imam di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

    Tugas tertuduh termasuk menyediakan penyata kewangan bulanan akaun masjid sebelum menyerahkannya kepada ketua Hal Ehwal Masjid Daerah Belait untuk ditandatangani. Penyata itu kemudian disertakan bersama salinan resit pembelian dan penyata akaun bank.

    Dia juga bertanggungjawab untuk mengira wang dalam peti sumbangan masjid pada setiap Jumaat dan memasukkan wang itu ke dalam bank akaun masjid.

    Setiap awal bulan, tertuduh akan menyerahkan penyata kewangan bulanan akaun masjid kepada ketuanya untuk pengesahan. Tertuduh telah menjalankan tugas menyediakan penyata laporan bulanan sejak tahun 2000 ketika dilantik sebagai bilal.

    Laporan pecah amanah terhadap tertuduh dibuat pada 11 Ogos 2010 oleh polis siasatan jenayah susulan dari Memorandum Kementerian Hal Ehwal Ugama bertarikh 19 Julai 2010. Siasatan polis mendapati tertuduh telah mereka kemasukan simpanan dalam penyata kewangan bulanan masjid pada Ogos 2007 yang menyatakan baki semasa akaun adalah $80,782.92 dan baki baharu akaun ialah $81,913.47.

    Penyata kewangan masjid untuk bulan September 2007 juga direka dengan menyatakan baki semasa adalah $81,913.47 dan baki baharu ialah $83,526.02 manakala bagi bulan November 2007 menyatakan baki semasa $84,208.42 dan baki baharu $85,653.17.

    Bagi bulan Januari 2008, dia telah menyatakan baki semasa $87,774.82 dan baki baharu $87,840.72 sementara bulan Mac 2008 menyatakan baki semasa $88,823.57 dan baki baharu $89,295.94.

    Jumlah angka itu kononnya untuk menunjukkan yang wang dari peti sumbangan masjid telah pun disimpan ke dalam akaun bank masjid pada setiap Jumaat pada bulan tersebut.

    Siasatan mendapati bahawa wang sumbangan itu tidak pernah disimpan ke dalam akaun bank masjid dan kemasukan simpanan telah dipalsukan, dan tidak ada rekod menunjukkan jumlah wang yang dikumpulkan dalam peti sumbangan tersebut. Pihak pendakwa memaklumkan mahkamah bahawa siasatan bagaimanapun gagal mengesan wang sumbangan itu digunakan kerana tidak ada dokumen yang menyokong sebarang pembelian.

    Mahkamah turut dimaklumkan yang tertuduh telah menukar alamat persuratan dan mengarahkan pihak bank untuk mengirim penyata bank akaun masjid ke alamat peti surat di Kuala Belait untuk mengelak daripada diterima oleh pegawai atasannya.

    Siasatan juga mendedahkan bahawa tertuduh telah menyediakan dan memalsukan penyata akaun bank dan menggunakannya sebagai tulen untuk akaun bulan Ogos dan November 2006, Ogos dan November 2007 dan Mac 2008. Tertuduh mengakui telah memalsukan kemasukan simpanan dan juga memalsukan dokumen menggunakan komputer masjid.

    Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff manakala tertuduh diwakili Peguam Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda