Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Bersempena dengan Sambutan Israk dan Mikraj, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar telah mengadakan forum khas yang membawa tema ‘Ke Arah Mengukuhkan Sosial dan Ekonomi’, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di masjid berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong yang juga selaku ahli Jawatankuasa Tertinggi Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Sesuai dengan tema sambutan peringkat kebangsaan iaitu ‘Iman Teguh Akidah Teguh’, barisan ahli panel yang terdiri daripada Awang Sammali bin Haji Adam, Mejar Ariffin bin Amit dan Haji Mail bin Besar telah membincangkan mengenai hubungan antara keimanan dan akidah yang mantap dengan pembangunan masyarakat.
Antara perkara yang dikongsikan kepada jemaah yang hadir adalah mengenai peranan suami atau bapa sebagai ketua keluarga dalam menjalankan amanah bagi memelihara ahli keluarganya agar tidak terjerumus ke dalam perkara mungkar seperti tidak amanah, perzinaan, mengabaikan solat dan lain-lain.
Kurangnya penghayatan agama boleh menggugat keharmonian masyarakat sehingga berlakunya pelbagai gejala sosial atau lain-lain anasir buruk yang boleh mencetuskan persengketaan dan akhirnya melemahkan integriti masyarakat.


Jemaah diingatkan bahawa keretakan dalam kelestarian bermasyarakat boleh berpunca dari sekecil-kecil perkara seperti berprasangka buruk atau pelbagai angkara yang disebabkan oleh kejahatan lisan.
Perkara ini ada digambarkan azab akibatnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj dan seharusnya dijauhi bagi menjalin hubungan sosial dalam kehidupan sesama manusia.
Menyentuh mengenai pengukuhan ekonomi pula, ahli-ahli panel telah menghuraikan mengenai kelebihan melakukan infak atau berbelanja di jalan Allah dalam menjana ekonomi yang berkat.
Salah satu mekanisme membangun ekonomi adalah dengan memperkasakan sistem zakat yang mempunyai pelbagai hikmah terutamanya dalam mengeluarkan anggota masyarakat dari kepompong kemiskinan.
Konsep musaadah atau bantu-membantu dalam hal perlaksanaan perintah Allah ini bukan hanya dipraktikkan melalui amalan zakat atau bersedekah, malahan seharusnya diaplikasikan dalam meningkatkan fungsi masjid bukan sahaja setakat tempat untuk melaksanakan solat berjemaah tetapi sebagai penyatuan ummah.