Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Ahli Jawatankuasa (AJK) takmir masjid dan jemaah Masjid Kampung Sungai Besar merebut manfaat dan kelebihan mengimarahkan masjid dengan membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Acara membaca Surah Al-Kahfi itu diadakan bagi menyemarakkan lagi kedatangan Ilal Hijrah dan bacaan telah dipimpin oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.
Manakala Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.
Di majlis itu, Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit melahirkan keyakinan, ibadah membaca Surah Al-Kahfi secara berjemaah dari sudut kemasyarakatan akan memperoleh hikmah dalam mengekalkan kemuafakatan dan meningkatkan keharmonian dalamkalangan jemaah.
Beliau yang juga Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar seterusnya berharap para jemaah akan mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung dalam Surah Al-Kahfi.
Surah Al-Kahfi antara lain memberi pengingatan dan pengajaran agar manusia memanfaatkan segala yang dikurniakan Allah SWT dengan kebenaran dan mengelakkan dari berlakunya kekufuran.
Turut hadir di majlis itu ialah Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.